Alumni Back to Campus: Business Pitching Bersama Alumni Shazmi Ali suntik Dana Keusahawanan Pelajar RM15,000
Gambar Pusat Alumni
SINTOK, 23 Jun 2026: Program Alumni Back to Campus: Business Pitching bersama Alumni telah berlangsung dengan jayanya apabila Alumni Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia (1999), Universiti Utara Malaysia (UUM), Shazmi Ali kembali ke kampus bagi menilai idea perniagaan yang dibentangkan oleh pelajar dan menyuntik dana perniagaan kepada pelajar yang berpotensi.
Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar berkata, program anjuran Pusat Alumni dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) ini merupakan platform yang bertujuan menggalakkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar UUM, di samping memberi pendedahan kepada mereka mengenai dunia perniagaan sebenar.
Menurutnya, melalui sesi pembentangan perniagaan (business pitching), peserta berpeluang mempersembahkan idea dan pelan perniagaan masing-masing kepada panel penilai.

Panel penilai adalah Shazmi Ali sendiri serta Timbalan Pengarah Pusat Alumni dan Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) UUM, Prof. Madya Dr. Muhammad Rosni Amir Hussin yang juga merupakan alumni UUM.
Calon pertama, Nur Athirah Najwa, berjaya memukau panel menerusi pembentangan perniagaan yang menawarkan perkhidmatan content creator.
Pembentangan yang tersusun, yakin dan berpotensi tinggi telah melayakkan beliau menerima suntikan modal perniagaan berjumlah RM5,000.
Sementara itu, Pengusaha Sepagi Kopitiam, Muhammad Afiq membentangkan rancangan untuk mengembangkan perniagaannya dengan menyediakan kabin yang lebih selesa serta menambah baik peralatan operasi.
Cadangan tersebut diyakini mempunyai potensi besar untuk berkembang, sekali gus melayakkan beliau menerima suntikan modal sebanyak RM10,000.

Shazmi Ali berkata, sumbangan modal yang diberikan adalah sebagai galakan kepada pelajar yang mempunyai minat mendalam dalam bidang perniagaan agar mereka lebih berani merealisasikan idea dan mengembangkan perusahaan masing-masing.
Beliau berharap bantuan tersebut dapat menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai usahawan muda yang berjaya serta mampu mencipta peluang pekerjaan pada masa hadapan.
Program ini turut membuktikan komitmen alumni UUM dalam menyumbang kembali kepada alma mater melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan sokongan kewangan kepada generasi pelapis.
Diharapkan inisiatif seperti ini akan terus memberi inspirasi kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan, sekali gus mengukuhkan budaya alumni yang sentiasa kembali menyumbang kepada universiti dan masyarakat. – Amelia Hakimi



