Sports

Penganjuran Kejohanan Renang UUM 2026 semarakkan bakat muda

Berita dan Gambar Oleh: Thong Jian Hong (STML)

SINTOK, 19 Jun 2026: Kejohanan Renang Universiti Utara Malaysia (UUM) 2026 yang berlangsung di Kolam Renang Pusat Sukan UUM hari ini mencatatkan satu lagi perkembangan positif apabila buat julung kalinya menerima penyertaan pasukan jemputan luar, Waterstings Swimming School (WSS), Jitra sebagai invitational swimmers yang diwakili oleh WSS Advance Team.

Kejohanan anjuran Kelab Renang UUM itu bukan sahaja menjadi medan pertandingan dalam kalangan perenang universiti, malah turut membuka ruang pendedahan lebih luas kepada atlet renang UUM untuk menguji kemampuan masing-masing bersama perenang jemputan yang mempunyai latar latihan berbeza yang kebanyakan perenangnya terdiri daripada perenang Program Bakat Renang Kedah yang dikendalikan oleh Persatuan Renang Amatur Kedah (PRAK).

Pengarah Pusat Sukan UUM, Dr. Nasiruddin Haron, berkata penganjuran kejohanan seumpama itu amat penting dalam usaha mencungkil bakat baharu serta memperkukuh budaya sukan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat UUM.

Menurut beliau, kejohanan tersebut memberi peluang kepada perenang-perenang UUM untuk terus mengasah bakat, meningkatkan kemahiran renang dan membina keyakinan diri dalam suasana pertandingan sebenar.

“Penganjuran kejohanan renang ini memberi ruang kepada pelajar UUM untuk mempamerkan kebolehan mereka, di samping memupuk semangat kesukanan yang sihat. Kehadiran pasukan jemputan seperti WSS Advance Team juga memberi pengalaman baharu kepada peserta UUM untuk merasai cabaran bertanding bersama perenang luar,” katanya.

Kejohanan kali ini turut menyaksikan beberapa perenang cemerlang dinobatkan sebagai perenang terbaik mengikut kategori masing-masing.

Anugerah Perenang Terbaik Kategori Lelaki dimenangi oleh Sutoto Gesit Wuryo, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa (SOIS), manakala Perenang Terbaik Kategori Wanita menjadi milik Wong Mei Ka, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans (SEFB).

 

Sementara itu, Mohamad Afizudin Mohd Azril daripada WSS Advance Team, yang merupakan anak kepada Prof. Madya Dr. Mohd Azril Ismail, CMILT (STML) turut mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Perenang Terbaik Kategori Junior, sekali gus membuktikan kehadiran pasukan jemputan itu memberi nilai tambah kepada kualiti persaingan kejohanan pada tahun ini.

Pengarah Kejohanan yang juga Presiden Kelab Renang UUM, Thong Jian Hong, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi dari School of Technology Management and Logistics (STML), menyifatkan penganjuran edisi kali ini sebagai antara yang paling meriah dan mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau berkata, penyertaan pasukan jemputan seperti WSS Advance Team telah memberi suasana baharu kepada kejohanan, selain meningkatkan semangat persaingan dalam kalangan peserta.

 

“Kejohanan kali ini berlangsung dengan penuh meriah. Penyertaan daripada WSS Advance Team sebagai pasukan jemputan memberikan kelainan dan pengalaman bermakna kepada perenang UUM. Kita juga menerima penyertaan yang sangat baik, khususnya bagi acara 4×50 meter Relay Freestyle yang menjadi antara acara paling mendapat perhatian,” katanya.

Tambah beliau, kejohanan tersebut turut mencerminkan kepelbagaian komuniti kampus UUM apabila penyertaan bukan sahaja melibatkan pelajar Malaysia, malah turut disertai pelajar antarabangsa dari Indonesia, Uzbekistan dan Libya.

Kehadiran perenang antarabangsa itu menjadikan kejohanan berkenaan lebih berwarna-warni, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan, persahabatan dan kesukanan merentas latar budaya dalam kalangan warga kampus UUM.

 

Penganjuran Kejohanan Renang UUM 2026 ini juga dilihat sebagai platform penting dalam menyemarakkan aktiviti sukan air di universiti, khususnya dalam membina minat berterusan terhadap sukan renang sebagai gaya hidup sihat.

Lebih daripada sekadar pertandingan, kejohanan ini menjadi ruang pembentukan sahsiah, disiplin, daya saing dan keyakinan diri dalam kalangan mahasiswa.

Ia juga selari dengan hasrat UUM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah aktif, sihat dan seimbang dari aspek jasmani serta rohani.

Diharapkan kejohanan seperti ini terus mendapat tempat dalam kalangan pelajar UUM dan menjadi acara tahunan yang mampu memperkukuhkan landskap sukan universiti.

Penganjurannya membuktikan bahawa sukan berperanan besar dalam membina generasi berilmu, cergas dan berdaya saing, seiring dengan aspirasi melahirkan mahasiswa yang mengamalkan gaya hidup sihat serta mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button