SUDI’26 iktiraf pelaksanaan program SULAM UUM, tingkat budaya pembelajaran
Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 24 Jun 2026 – SULAM Driven Innovation 2026 (SUDI’26) dianjurkan bagi menggalak, memperkukuh dan memberi pengiktirafan kepada pelaksanaan projek-projek Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) dalam kalangan pelajar dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).
UUM juga komited memperkasa pembelajaran berasaskan khidmat komuniti, inovasi serta pembangunan masyarakat melalui pelaksanaan projek SULAM berimpak tinggi, selain memperluas budaya pembelajaran lebih sistematik, berimpak dan mampan.
SUDI’26 mempertandingkan dua kategori utama iaitu Sains dan Teknologi dan Sains Sosial yang menampilkan pelbagai projek berasaskan aplikasi ilmu, inovasi dan penyelesaian isu serta keperluan komuniti, sekali gus menggalakkan pelajar mengaplikasikan pembelajaran dalam situasi sebenar yang memberi manfaat kepada komuniti.

Bagi kategori Sains dan Teknologi, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) menang tempat pertama menerusi projek QC Check Defect Detect, diikuti Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) di tempat kedua dan ketiga dengan projek Safeguard – Ekosistem Tindak Balas Masa Nyata yang Inklusif untuk Mitigasi Banjir Komuniti dan projek Empowering Changlun Household Through Data-Driven Financial Resilience.
Kategori Sains Sosial pula dimenangi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) di tempat pertama dengan projek Pemerkasaan Komuniti Kampung Rawa – Cendawan Bongkah.

Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) pula menang tempat kedua menerusi projek IMC Campaign for Liznim Kraf Enterprises dan di tempat ketiga adalah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dengan projek Lestari Niaga: Pemerkasaan Digital di Pasar Tani Kekal, Changlun.
Menurut Penolong Naib Canselor UUM College of Business, Prof. Dr. Selamah Maamor dalam ucapan penutup SUDI’26, SULAM bukan sahaja satu pendekatan pembelajaran dan pengajaran tetapi satu usaha menterjemah ilmu akademik kepada aplikasi yang memberi manfaat kepada komuniti.
Beliau berkata SUDI’26 akan terus menjadi platform yang mencetuskan lebih banyak idea kreatif, inovasi sosial dan penyelesaian mampan pada masa akan datang, sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam mendukung pembangunan masyarakat melalui pendidikan berimpak tinggi.

“Menerusi pelaksanaan projek-projek SULAM UUM, ia turut membantu membentuk keperibadian mahasiswa dan mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan memupuk rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa dan pensyarah UUM.
Pelaksanaan SULAM juga menjadi platform terbaik kepada jalinan hubungan rapat universiti dan komuniti termasuk menjadi pengalaman pembelajaran berharga kepada mahasiswa,” jelas Prof. Dr. Selamah.

Sementara itu, Pengarah Program, Prof. Dr. Norhafezah Yusof berkata, program SULAM yang dilaksanakan oleh UUM berjaya menjadi wadah perkongsian ilmu akademik universiti dan masyarakat dan SUDI’26 bukan sekadar satu pertandingan tetapi menampilkan hasil projek inovasi mahasiswa untuk komuniti.
“Tahniah kepada semua pemenang dan peserta SULAM yang telah mengemukakan projek mereka untuk dinilai menerusi SUDI’26. Kejayaan program bukan hanya diukur melalui kemenangan tetapi lebih kepada impak projek terhadap komuniti sasaran dan pengalaman pembelajaran yang diperoleh oleh mahasiswa,” menurut beliau.
Prof. Dr. Norhafezah berharap, mahasiswa dan pensyarah terlibat dalam projek SULAM terus tampil dengan idea-idea inovatif yang dapat memberi manfaat besar kepada komuniti pada masa hadapan. – : Noor Zafiera Ahmad Idris



