USM dan AMMAR, UUM perkukuh kolaborasi penyelidik ASEAN melalui Seminar Advanced Materials
Berita dan gambar oleh: Dania Hazwanie Salahuddin
PULAU PINANG, 25 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui School of Materials and Mineral Resources Engineering dengan kerjasama Research Unit Advanced Materials and Manufacturing for Applied Research (AMMAR), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan 1-Day Seminar on Advanced Materials for Various Applications bertempat di Seminar Room, School of Materials and Mineral Resources Engineering, USM Engineering Campus, Pulau Pinang.
Program ini turut dilaksanakan secara hibrid melalui platform Webex bagi membuka penyertaan yang lebih luas kepada ahli akademik, penyelidik dan pelajar.

Seminar ini merupakan antara inisiatif strategik dalam memperkukuh jaringan penyelidikan antara penyelidik dari negara-negara ASEAN, khususnya dalam bidang bahan termaju dan aplikasinya dalam pelbagai sektor seperti kejuruteraan, pembuatan, rawatan air, teknologi alam sekitar, tenaga dan kelestarian.
Penganjuran program ini ditaja sepenuhnya oleh AUN-SEED.Net sebagai usaha memperkasa perkongsian ilmu, pertukaran kepakaran dan pembangunan kolaborasi penyelidikan berimpak tinggi di rantau Asia Tenggara.
Program ini menghimpunkan barisan penceramah daripada pelbagai institusi dalam dan luar negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Pakistan. Antara penceramah yang terlibat ialah Dr. Muhammad Ayub dari Centre of Excellence in Science & Technology (CESAT), Pakistan; Dr. Ir. Rendy Muhamad Iqbal dari Universitas Palangka Raya, Indonesia; Dr. Mohd Ridhwan Adam dari Universiti Sains Malaysia; Assoc. Prof. Dr. Mohd Riduan Jamalludin dari Universiti Malaysia Perlis; Dr. Mohd Haiqal Abd Aziz dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia; Dr. Tan Tan Bui dari Ho Chi Minh City University of Technology, Vietnam; dan Dr. Van Dang Tran dari Hanoi University of Science and Technology, Vietnam.

Melalui seminar ini, para peserta berpeluang mengikuti perkongsian ilmu berkaitan pembangunan bahan termaju, teknologi pemprosesan bahan, aplikasi bahan berfungsi, teknologi pembuatan serta inovasi penyelidikan yang menyokong agenda kelestarian.
Sesi perkongsian yang dijalankan turut menjadi ruang penting untuk membincangkan potensi penyelidikan baharu, penerbitan bersama, mobiliti akademik dan kerjasama rentas institusi pada masa hadapan.
Ketua Research Unit AMMAR, UUM, Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah berkata, penganjuran seminar ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu, malah secara tidak langsung memperkenalkan AMMAR kepada komuniti penyelidik serantau.

Menurut beliau, program seumpama ini amat penting dalam membuka peluang kepada AMMAR untuk membina kolaborasi penyelidikan dalam pelbagai bidang berkaitan advanced materials, teknologi pembuatan, kelestarian dan aplikasi kejuruteraan pada masa hadapan.
Beliau turut menyatakan bahawa hubungan yang terbina melalui program ini mampu menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih kukuh antara penyelidik ASEAN, khususnya dalam menghasilkan penyelidikan yang relevan dengan keperluan industri, masyarakat dan alam sekitar.
Kolaborasi seperti ini juga dilihat berupaya memperluas jaringan kepakaran AMMAR serta meningkatkan keterlihatan UUM dalam bidang penyelidikan bahan termaju di peringkat serantau.

Kerjasama antara USM dan Research Unit AMMAR, UUM ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam menyokong agenda pengantarabangsaan penyelidikan serta pembangunan kapasiti penyelidik muda dan berpengalaman.
Penganjuran seminar ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara universiti, malah turut menyemarakkan budaya penyelidikan rentas disiplin yang berorientasikan inovasi, kelestarian dan impak kepada masyarakat.
Program ini diharap dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama akademik dan penyelidikan antara USM, Research Unit AMMAR, UUM serta rakan-rakan penyelidik ASEAN pada masa hadapan. Melalui sokongan AUN-SEED.Net, seminar ini membuktikan bahawa kolaborasi serantau mampu menjadi jambatan penting dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pembangunan teknologi bahan termaju yang berdaya saing.



