Education

IBS UUM dan KWSP mantapkan pengurusan kewangan 212 pelajar IPG Kedah Darul Aman

Berita dan gambar oleh: Mohd Saharudin Shakrani

JITRA, 17 Mei 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah berjaya menganjurkan program Hari Celik Kewangan (HACK) IPT 2026 kelmarin. Program berimpak tinggi ini berlangsung bersama-sama pihak Institut Pendidikan Guru Kedah Darul Aman.

Seramai 212 orang pelajar tahun akhir dari pelbagai jurusan bidang perguruan telah menyertai program ini dengan jayanya.

Antara pengisian utama program adalah sesi perkongsian ilmu bertajuk “Perancangan Kewangan Peribadi – Gaji Pertama & Waspada Scam”. Ceramah ini telah disampaikan dengan cemerlang oleh Dr. Amirul Haqeem bin Abd Ghani untuk memberi pendedahan awal kepada bakal pendidik. Turut diadakan adalah satu sesi taklimat dan penerangan interaktif bersama wakil daripada pihak KWSP cawangan Alor Setar.

Seorang peserta berkata, perkongsian yang sangat bermanfaat dari segi pengurusan kewangan untuk jangka masa yang panjang terutama sekali buat bakal-bakal guru yang akan menerima gaji pertama, sambil berpendapat bahawa program ini perlu dilakukan dengan lebih kerap dan juga awal untuk menimbulkan kesedaran kepada para bakal guru-guru.

Selain sesi ceramah, program ini turut dimeriahkan dengan pembukaan reruai pameran oleh pihak KWSP dan juga STF, IBS, UUM. Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan untuk para peserta termasuklah inisiatif pendaftaran akaun KWSP secara terus di lokasi. Para pelajar juga berpeluang menyertai pelbagai permainan yang direka khusus untuk menguji dan memantapkan tahap celik kewangan mereka.

Delegasi IBS UUM ke program ini telah disertai oleh pengerusi program HACK IPT 2026 iaitu Encik Mohd Saharudin Shakrani. Turut menjayakan inisiatif literasi ini ialah barisan pensyarah IBS iaitu Dr. Mohamad Yazid Isa, Dr. Tubagus Thresna Irijanto dan Dr. Nor Syahidah Ishak dan Encik Khairul Anuar Adnan yang bersama-sama memastikan kelancaran setiap atur cara.

Penganjuran program seumpama ini membuktikan komitmen berterusan IBS UUM dalam memupuk kesedaran pengurusan kewangan yang mampan dalam kalangan generasi muda. Pendedahan yang holistik ini amat penting bagi mempersiapkan bakal guru dengan ilmu perancangan kewangan yang utuh sebelum memasuki alam pekerjaan. Sinergi strategik antara akademia dan agensi seperti ini wajar diteruskan untuk manfaat kelangsungan komuniti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button