CampusEducation

SOE UUM teroka kerjasama strategik bersama IABCU: Buka peluang sarjana dan kedoktoran buat pentadbir sekolah KPM

Berita dan gambar oleh: Muhd Zulhilmi Haron

JITRA, 18 Jun 2026 – Komitmen dalam memperkukuh jaringan strategik pendidikan negara terus dipergiat oleh Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi satu sesi kunjungan hormat ke Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU) yang berlangsung di Pejabat Pengarah IABCU, Jitra, Kedah.

Delegasi SOE UUM telah diketuai oleh Dekannya, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi bin Haji Othman, bersama beberapa orang penjawat pusat pengajian, dan disambut mesra oleh pihak pengurusan tertinggi IABCU.

Kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk membincangkan jalinan kerjasama dua hala yang berfokus kepada agenda pemantapan profesionalisme dan pengukuhan kompetensi kepimpinan para pentadbir sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Hasil pertemuan strategik itu turut merintis persetujuan awal terhadap dua fokus utama penawaran akademik peringkat pascasiswazah. Ini merangkumi penawaran program Sarjana Pendidikan (Pengurusan Pendidikan dan Kepengetuaan) yang dikhususkan kepada pentadbir sekolah KPM dalam kalangan peserta NPQEL di IAB, serta peluasan peluang ke peringkat Kedoktoran (PhD dan Ed.D) bagi melonjakkan tahap saujana intelektual dan memperkasa amalan kepimpinan instruksional para pentadbir sekolah terlibat.

Dekan SOE UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi bin Haji Othman, menyatakan bahawa inisiatif kolaborasi ini merupakan langkah serampang dua mata dalam menyokong hasrat KPM melahirkan pemimpin sekolah yang berimpak tinggi, beracuan masa hadapan, dan relevan dengan dinamika pendidikan semasa.

“Sinergi antara SOE UUM yang memiliki kepakaran luas dalam latihan pascasiswazah keguruan, bersama IABCU sebagai sebuah institusi puncak latihan kepimpinan pendidikan, bakal membina satu ekosistem pembangunan modal insan yang mampan. Ini selaras dengan usaha memacu transformasi pendidikan negara ke arah yang lebih progresif,” ujar beliau.

Pihak IABCU turut menzahirkan penghargaan atas kesediaan dan komitmen SOE UUM untuk turun padang bagi membuka ruang serta peluang keemasan ini buat warga pendidik, khususnya para peserta NPQEL dan pentadbir sekolah. Inisiatif ini diyakini dapat memudahkan laluan peningkatan kerjaya dan akademik pegawai perkhidmatan pendidikan secara lebih berstruktur.

Sesi kunjungan hormat ini dijangka akan menyusuli tindakan penyelarasan teknikal yang lebih terperinci bagi membolehkan pelaksanaan penawaran program ini dapat dijayakan dalam masa terdekat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button