522 pelajar terima Sijil Anugerah Dekan pada Majlis Anugerah Dekan SoIS 2026
Berita dan gambar Mohd Khairil Hazree Hairuddin
SINTOK, 2 Julai 2026: Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Dekan SoIS 2026 bertempat di Auditorium SoIS pada 22 Jun lalu bagi meraikan kecemerlangan akademik para pelajar yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dalam pengajian mereka.

Majlis yang berlangsung telah menghimpunkan seramai 522 penerima Sijil Anugerah Dekan bagi Semester A242 dan A251 sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap usaha, komitmen serta dedikasi pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik.
Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman dengan diiringi oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero serta Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dr. Wan Nurisma Ayu Wan Ismail.
Majlis tersebut turut menjadi platform bagi menghargai usaha gigih para pelajar yang berjaya mengekalkan prestasi akademik cemerlang sepanjang pengajian. Pengiktirafan yang diberikan diharapkan dapat menyuntik semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Dalam ucapan beliau, Dr. Nazariah merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar atas kejayaan yang dicapai serta menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, keluarga dan pensyarah yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh pengajian.
Beliau menegaskan bahawa kecemerlangan akademik perlu disertai dengan pembentukan sahsiah dan adab yang baik kerana adab merupakan asas penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, malah dihormati serta mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan negara.
Dr. Nazariah turut mengingatkan pelajar agar sentiasa mengamalkan nilai integriti, disiplin dan profesionalisme dalam setiap aspek kehidupan, di samping terus meningkatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pemikiran kritis sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif. Selain itu, pelajar juga digalakkan memanfaatkan peluang melalui aktiviti kokurikulum, program kesukarelawanan, mobiliti antarabangsa serta penglibatan dalam penyelidikan dan pembangunan diri.
Menurutnya, keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembangunan peribadi merupakan kunci kepada kejayaan yang berterusan.

Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan yang diraih pada hari ini bukanlah destinasi terakhir, sebaliknya langkah permulaan ke arah pencapaian yang lebih tinggi, justeru para pelajar disaran untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangan, sentiasa dahagakan ilmu dan berani meneroka peluang baharu demi masa depan.
Majlis turut diserikan dengan sesi bergambar bersama penerima anugerah, barisan pengurusan SoIS dan para pensyarah. Suasana penuh ceria dan bangga jelas terpancar dalam kalangan penerima anugerah yang hadir bagi meraikan kejayaan mereka bersama rakan-rakan serta warga SoIS.
Penganjuran Majlis Anugerah Dekan SoIS 2026 diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk terus mengekalkan kecemerlangan akademik serta membentuk peribadi yang unggul selaras dengan aspirasi Universiti Utara Malaysia dalam melahirkan graduan yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing di peringkat global.



