Syarahan Profesor Adjung IBS: Masa depan halal tuntut sinergi syariah dan teknologi
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof
SINTOK, 2 Julai 2026: Masa depan industri halal global kini menuntut keseimbangan yang jitu antara kefahaman syariah dan penguasaan teknologi.
Demikian intipati utama yang dikongsikan oleh Profesor Adjung Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Mohd Amri Abdullah dalam Sesi Syarahan Profesor Adjung bertajuk “Teknologi Halal Masa Depan: Bagaimana Hukum dan Fatwa Menjadi Panduan Industri?”.

Program itu telah dihadiri oleh barisan pensyarah, staf sokongan, serta pelajar cemerlang IBS yang menerima Anugerah Dekan bagi semester A242 dan A251.
Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan atas kesudian tokoh tersebut memeriahkan majlis ilmu di kampus Sintok.
“Ini merupakan kali ketiga beliau atau lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Halal’ hadir ke UUM untuk berkongsi pengalaman luas dan kepakaran beliau dalam bidang ini bersama warga kampus,” katanya.
Mengupas lanjut topik syarahannya, Mohd Amri menegaskan bahawa asas utama kepada pensijilan halal adalah syariah dan fatwa.
Beliau menasihatkan pelajar dan pemain industri agar sentiasa merujuk serta mematuhi fatwa yang diputuskan oleh ulil amri (pihak berkuasa agama), berbanding sekadar berpegang kepada pandangan peribadi.

Tambahnya, sebarang perbezaan pandangan (ikhtilaf) dalam bab fatwa perlu diuruskan secara harmoni dan bijaksana, terutamanya apabila melibatkan isu kenegerian dan perbezaan tafsiran hukum, agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
Beliau turut berkongsi impak besar pematuhan fatwa terhadap ekonomi global. Sebagai contoh, ketegasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menolak pengimportan daging dari Amerika Syarikat susulan isu kaedah kejutan (stunning) yang menyalahi hukum.
Malah, tindakan JAKIM membatalkan kelulusan sebuah rumah sembelih di Australia suatu ketika dahulu kerana berpegang teguh kepada fatwa, telah memberi kesan mendalam kepada ekonomi negara tersebut apabila negara pengimport lain turut menjejaki langkah Malaysia.
Menyentuh soal sistem pengurusan halal di industri, beliau menjelaskan bahawa elemen fatwa dan hukum syarak kini wajib disepadukan ke dalam Sistem Jaminan Halal (HAS).
“Jika dahulu prosedur pensijilan hanya merujuk kepada hukum syarak, kini pandangan fatwa memainkan peranan kritikal, seperti penetapan status vine vinegar (cuka wain) yang telah difatwakan haram,” katanya.

Mengulas mengenai lambakan produk baharu seperti minuman teh kombucha, beliau memaklumkan bahawa fatwa khusus mengenainya masih di peringkat kajian makmal bagi menentukan kandungan alkohol.
Namun, sebagai panduan asas bersandarkan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, mana-mana minuman ringan yang diproses bukan dengan tujuan menghasilkan arak dan mengandungi alkohol di bawah paras 1% v/v adalah diharuskan. Untuk rujukan maklumat fatwa yang tepat dan rasmi, beliau menyarankan para pelajar untuk memanfaatkan portal i-Fiqh.
Selari dengan ledakan Revolusi Industri, Tuan Haji Mohd Amri turut menyentuh perancangan masa depan seperti penggunaan mesin pintar (halal checker machine) bagi menggantikan tenaga kerja manusia dalam industri sembelihan halal, yang kelak pasti menuntut pengeluaran fatwa khusus.
Justeru, beliau menekankan kepentingan membina modal insan, terutamanya melahirkan Eksekutif Halal yang memiliki ‘ruh halal’. Individu ini merupakan penggerak penting (key person) di dalam syarikat yang wajib mendahulukan hukum syarak dan fatwa berbanding undang-undang umum, di samping melengkapkan diri dengan pengetahuan berteraskan sains.

Beliau mengakhiri syarahannya dengan menegaskan, “Masa depan industri halal tidak akan dipimpin oleh golongan yang hanya memahami syariah atau hanya memahami teknologi secara berasingan. Ia akan dipimpin oleh mereka yang mampu menggabungkan hukum, fatwa, sains, dan inovasi dalam satu ekosistem yang menyantuni kehendak syarak serta keperluan manusia. Fatwa memberi arah. Teknologi mempercepat perjalanan. Industri halal masa depan memerlukan kedua-duanya.”
Sementara itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) IBS, Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof menyifatkan perkongsian tersebut sebagai satu nilai tambah yang amat bermakna buat pelajar IBS.
“Pendedahan mengenai realiti industri dan dinamika fatwa sebegini adalah kritikal bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang di dewan kuliah, malah kompeten memimpin ekosistem halal global dengan acuan integriti yang utuh,” katanya.



