STML terima delegasi Program Mobiliti UMKT-UUM 2026
Berita dan gambar Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik
SINTOK, 2 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) telah menerima kehadiran delegasi dari Universitas Muhammadiyah Kalimantan Timur (UMKT) bersempena Program Mobiliti UMKT-UUM 2026 dengan Kerjasama Inapan Siswa (Inasis) Maybank.
Delegasi yang UMKT terdiri daripada 19 pelajar dan 6 pensyarah ini tiba di UUM selama 14 hari bermula dari 1 Jun hingga 14 Jun lalu secara hibrid.
Dekan STML, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim berkata, objektif program ini adalah untuk mengeratkan hubungan kerjasama strategik antara UUM dan UMKT serta memberi pendedahan kepada para peserta mengenai sistem pembelajaran, pengurusan dan budaya akademik di UUM.

Menurutnya, selain itu, meningkatkan pengetahuan serta kefahaman pelajar dalam bidang pengurusan teknologi dan logistik melalui perkongsian ilmu dan pengalaman antarabangsa, di samping memberi pengalaman pembelajaran global dan meningkatkan kemahiran komunikasi serta jaringan antarabangsa dalam kalangan peserta.
Pengarah Program, Nurzulaikha Ahmad Saad berkata, program dimulakan dengan sesi penanda aras dalam kalangan pensyarah UMKT dan UUM yang bertujuan untuk berkongsi pengalaman, amalan terbaik serta memperkukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua institusi.
Seterusnya, peserta mengikuti sesi kehidupan kampus di UUM, di mana mereka diberi pendedahan kepada suasana pembelajaran di UUM melalui penyertaan dalam kelas secara fizikal atau dalam talian.
Pada sebelah petang, peserta dibawa menyertai lawatan mini UUM dengan menaiki bas bertujuan memperkenalkan persekitaran kampus UUM kepada peserta mobiliti termasuk kemudahan utama universiti, bangunan akademik, kawasan pelajar serta beberapa lokasi ikonik di sekitar kampus. Aktiviti ini bukan sahaja membantu peserta menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti, malah memberikan pengalaman awal mengenai kehidupan kampus di UUM.

Majlis penutup telah dihadiri Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, STML, Dr. Wadi Khalid Anuar dan Timbalan Dekan (Kewangan, Penyelidikan dan Khidmat Masyarakat) UMKT, Khoirul Amin, S.IP, M.A.
Majlis diteruskan dengan tayangan video yang memaparkan sorotan aktiviti sepanjang program berlangsung, sekali gus mengimbau kembali kenangan manis serta ikatan persahabatan yang terjalin antara para peserta. Majlis diakhiri dengan sesi fotografi sebagai kenang-kenangan.
Turut serta, Pengarah Pejabat Kerjasama dan Hal Ehwal Antarabangsa UMKT, Asmadhini Handayani Rahmah, S.Si., M.M, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa STML, Dr. Norsiah Hamid; Pengerusi Program Pascasiswazah STML, Dr. Syairah Aimi Shahron dan Penasihat Kelab Pengurusan Operasi UUM, Dr. Mawaddah Mohamad, barisan tenaga pengajar dari STML, peserta dari UMKT serta staf yang terlibat dalam penganjuran dan pelaksanaan program.
Di samping itu, ahli kelab dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik iaitu Kelab Pengurusan Operasi (POM), Persatuan Pengurusan Teknologi (MOTIC) dan Kelab Logistik dan Pengangkutan (LOGTRANS) bersama dengan Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inasis Maybank sebagai jawatankuasa yang menguruskan program ini.



