1,013 pelajar SBM terima pengiktirafan akademik
Gambar Nur Atikah Wan Noor Zamani
SINTOK, 2 Julai 2026: Seramai 1,013 pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima pengiktirafan akademik dalam Majlis Anugerah Dekan SBM Sesi A251.
Majlis gilang-gemilang ini dirasmikan oleh Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad di mana beliau memuji komitmen seluruh warga pusat pengajian dalam mengekalkan budaya kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.

Penganjuran kali ini memperkenalkan beberapa kategori anugerah baharu sebagai usaha menghargai kecemerlangan pelajar secara lebih holistik.
Inisiatif ini bertujuan mengiktiraf pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam kepimpinan, kokurikulum, keusahawanan, kesukanan serta memberi sumbangan kepada universiti dan masyarakat.
Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah tertinggi kepada penerima iaitu Muhammad Fadhil Zulkifli yang menunjukkan pencapaian cemerlang dan konsisten serta memberi impak positif kepada universiti.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan, malah berfungsi sebagai pemangkin inspirasi untuk seluruh pelajar SBM terus melangkaui standard kecemerlangan.
Melalui kerjasama erat pihak pengurusan dan kepimpinan pelajar, SBM komited untuk terus melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing, berintegriti, dan mampu memberi impak positif kepada negara. – Muhammad Yusuf Nabhan Muhamad Roslan



