UUM bentang Kertas Pemakluman Kajian PTK Pembangunan Petempatan dan Pekan Kecil Negeri Perlis
Berita dan gambar Dr. Aidanajwa Sabri
KANGAR, 2 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dijemput membentangkan kertas pemakluman bertajuk Kajian Pelan Tindakan Khas (PTK) Pembangunan Petempatan / Pekan Kecil Negeri Perlis (PPK) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Perlis Bil. 2/2026 yang berlangsung di Bilik Gerakan 1, Aras 3, Kompleks Seri Putra, Kangar.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dan turut melibatkan kehadiran agensi-agensi kerajaan serta pihak berkepentingan yang berkaitan dengan perancangan pembangunan negeri.
Pembentangan kertas pemakluman tersebut diketuai oleh Dr. Muhammad Hafiz Abd Razak bersama pasukan penyelidik UUM yang terdiri daripada Dr. Aidanajwa Sabri, Prof. Madya Ts. Dr. Azlizan Talib, Prof. Madya Sr. Dr. Mohd. Nazaruddin Yusoff dan Dr. Nor Suzylah Sohaimi.
Turut terlibat dalam mesyuarat berkenaan ialah Pengarah PLANMalaysia Perlis (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perlis), TPr Dr. Mohamad Sabri Ahmad selaku agensi utama yang memainkan peranan penting dalam perancangan pembangunan fizikal dan strategik negeri Perlis.

Dr. Muhammad Hafiz berkata, Kajian PTK Pembangunan Petempatan / Pekan Kecil Negeri Perlis ini dilaksanakan bagi meneliti hala tuju pembangunan petempatan dan pekan kecil di negeri Perlis secara lebih tersusun, inklusif dan mampan.
Menurutnya, kajian ini turut memberi tumpuan kepada potensi pembangunan setempat, keperluan komuniti, pengukuhan fungsi pekan kecil serta cadangan tindakan strategik bagi menyokong kesejahteraan penduduk dan daya saing negeri.
“Penglibatan UUM dalam kajian ini mencerminkan peranan universiti sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam menyumbang kepakaran akademik, penyelidikan dan perundingan bagi membantu proses perancangan pembangunan yang berasaskan data, keperluan setempat serta aspirasi komuniti.
“Melalui pembentangan ini, UUM terus komited memperkukuh hubungan kerjasama bersama kerajaan negeri dan agensi perancang dalam usaha menyokong pembangunan negeri Perlis yang lebih seimbang, berdaya tahan dan berimpak kepada masyarakat,” katanya.



