Kolokium Pascasiswazah SLCP 2026 perkukuh budaya penyelidikan dan jaringan akademik Malaysia-Indonesia
Gambar Jawatankuasa Program Pascasiswazah SLCP
SINTOK, 2 Julai 2026: Seramai 23 pelajar pascasiswazah yang terdiri daripada 19 pelajar Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan empat pelajar Universitas Islam Negeri (UIN) Sulthan Thaha Saifuddin Jambi, Indonesia telah menyertai Kolokium Pascasiswazah SLCP 2026 yang berlangsung di Bilik Bima Sakti, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia pada 30 Jun lalu.
Kolokium yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Program Pascasiswazah SLCP ini merupakan salah satu inisiatif memperkasakan budaya penyelidikan dan kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar pascasiswazah.

Program ini menyediakan platform kepada pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) untuk membentangkan cadangan serta perkembangan penyelidikan mereka di hadapan panel penilai bagi memperoleh ulasan, pandangan dan cadangan penambahbaikan secara ilmiah.
Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie di mana beliau menegaskan bahawa budaya penyelidikan yang mantap merupakan asas kepada kecemerlangan universiti.
Menurutnya, kolokium bukan sekadar memenuhi keperluan akademik pelajar pascasiswazah, malah menjadi wadah penting untuk membina keyakinan dalam mempertahankan idea penyelidikan secara profesional, menerima kritikan secara terbuka, seterusnya memperkukuhkan kualiti penulisan sebelum melalui penilaian di peringkat Proposal Defence dan Viva Voce.
Kolokium ini turut diserikan dengan kehadiran Direktur Pascasarjana UIN Sulthan Thaha Saifuddin Jambi, Prof. Dr. Risnita Muhammad Amin, M.Pd., sebagai pengucap utama.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kecemerlangan penyelidikan bergantung kepada gabungan di antara pemikiran kritis, integriti akademik, penguasaan metodologi penyelidikan, serta penghasilan penerbitan ilmiah berimpak tinggi.
Beliau turut menggesa pelajar supaya menguasai bidang kepakaran masing-masing, memperluaskan jaringan akademik rentas negara.
Selepas sesi ucaptama, program ini diteruskan dengan pembentangan selari melibatkan kesemua 23 peserta daripada pelbagai bidang merangkumi Linguistik Terapan, Bahasa Melayu, Pengajian Islam, dan Sejarah. Setiap pembentangan dinilai oleh panel penilai yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang, dengan aspek penekanan terhadap aspek keaslian kajian, kerelevanan tajuk, kerangka teori dan konseptual, sorotan literatur dan metodologi kajian.
Kolokium ini turut menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman antara pelajar, penyelia serta panel penilai dalam suasana akademik yang kondusif dan efektif. Perbincangan dua hala yang berlangsung sepanjang sesi pembentangan telah membuka ruang kepada pelajar untuk menilai semula kekuatan dan kelemahan penyelidikan mereka, sekali gus memperkukuhkan kemahiran berfikir kritis serta meningkatkan kualiti penyelidikan yang sedang dijalankan.
Program ini telah diselaraskan oleh Pengerusi Program Pascasiswazah SLCP, Dr. Khairiah Mohd Yassin dengan kerjasama jawatankuasa pelaksana dan warga akademik SLCP.

Beliau berharap kolokium ini akan terus menjadi platform yang signifikan dalam melahirkan graduan pascasiswazah yang berdaya saing, berintegriti dan berkeupayaan menyumbang kepada pembangunan ilmu serta penyelesaian isu masyarakat sama ada di peringkat nasional mahupun internasional.
Kejayaan penganjuran Kolokium Pascasiswazah SLCP 2026 membuktikan komitmen berterusan SLCP dalam memperkukuhkan ekosistem penyelidikan dan pendidikan pascasiswazah yang berkualiti. Pada masa yang sama, penyertaan delegasi dan pelajar UIN Sulthan Thaha Saifuddin Jambi turut mencerminkan hubungan strategik yang semakin erat di antara dua buah universiti ini terutamanya dalam pembangunan program pascasiswazah.
Jalinan kerjasama ini diharapkan akan terus berkembang melalui penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, serta pertukaran kepakaran di masa akan datang demi memartabatkan pendidikan pengajian tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa. – Dr. Khairiah Mohd Yassin



