Campus

PPQA perkasa kompetensi juruaudit menerusi Bengkel Pemantapan Juruaudit Kualiti Dalaman MS ISO 9001:2015

Berita dan gambar Siti Hajar Mat Isa

SINTOK, 2 Julai 2026: Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Juruaudit Kualiti Dalaman Universiti MS ISO 9001:2015 Tahun 2026 pada 23 Jun lalu di EDC-UUM.

Bengkel yang disertai oleh juruaudit kualiti dalaman universiti ini bertujuan memperkukuh kompetensi juruaudit dalam melaksanakan audit dalaman yang lebih sistematik, berkesan dan selaras dengan keperluan standard MS ISO 9001:2015.

Selain itu, bengkel ini turut memberi pendedahan berkaitan teknik penulisan nota audit, penyediaan dapatan penemuan audit serta penyediaan laporan audit yang berkualiti.

Pengarah PPQA, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, pembangunan UUMQ perlu berteraskan ekosistem kualiti yang menyeluruh dan saling melengkapi.

Menurutnya, akreditasi dan pensijilan MS ISO 9001:2015 merupakan asas yang menjadi tunjang kepada pelaksanaan UUMQ.

“Tanpa kedua-dua elemen tersebut, pembangunan UUMQ tidak akan mencapai matlamat yang dihasratkan kerana kedua-duanya berperanan sebagai pemacu utama dalam membudayakan kualiti serta memperkukuhkan kecemerlangan tadbir urus universiti,” katanya.

Beliau turut menyeru agar semua juruaudit terus memainkan peranan sebagai rakan strategik universiti dalam memastikan pematuhan terhadap sistem pengurusan kualiti, di samping membudayakan amalan penambahbaikan berterusan di setiap PTJ.

Bengkel yang berlangsung selama sehari ini telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Amalina Muhammad Afifi, dari Universiti Malaya.

Beliau telah menyampaikan dua sesi utama iaitu Penulisan Nota Audit serta Penulisan Dapatan Penemuan Audit dan Laporan Audit, yang memberi penekanan kepada aspek dokumentasi audit yang tepat, objektif dan berimpak.

Melalui penganjuran bengkel ini, PPQA berharap para juruaudit kualiti dalaman dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan dalam melaksanakan audit secara profesional serta menyumbang kepada pengukuhan sistem pengurusan kualiti universiti.

Inisiatif ini juga selaras dengan usaha PPQA untuk terus memperkasakan budaya kualiti dan kecemerlangan organisasi melalui pelaksanaan UUMQ yang menyokong aspirasi universiti ke arah kecemerlangan dan kelestarian.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button