UUM terima replika cek bagi Kajian Pemajuan dan Pembangunan Sistem Kerajaan Negeri Perlis
Gambar Pejabat Menteri Besar Perlis
KANGAR, 6 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima replika cek bagi pelaksanaan kajian-kajian pemajuan dan pembangunan sistem di bawah peruntukan Kerajaan Negeri Perlis dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Gerakan 1, Aras 3, Kompleks Seri Putra, Kangar, baru-baru ini.

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perlis,Abu Bakar Hamzah bersempena Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Perlis Bil. 2/2026 yang diadakan pada hari yang sama.
Penerima replika cek bagi pihak UUM ialah Dr. Muhammad Hafiz Abd Razak dan Prof. Madya Ts. Dr. Azlizan Talib. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah penyelidik bersama kajian-kajian tersebut iaitu Dr. Aidanajwa Sabri, Prof. Madya Sr. Dr. Mohd. Nazaruddin Yusoff dan Dr. Nor Suzylah Sohaimi.
Turut hadir ialah Pengarah PLANMalaysia Perlis, TPr Dr. Mohamad Sabri Ahmad, bersama wakil-wakil agensi kerajaan dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam agenda perancangan serta pembangunan negeri Perlis.
Penyerahan replika cek tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri Perlis dalam memperkukuhkan pelaksanaan kajian strategik yang dapat menyokong pemajuan dan pembangunan sistem secara lebih tersusun, berkesan dan berimpak. Ia juga menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri, agensi pelaksana dan pihak universiti.

Dr. Muhammad Hafiz berkata, penglibatan UUM dalam kajian ini turut memperlihatkan peranan universiti sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam menyumbang kepakaran akademik, penyelidikan dan perundingan bagi membantu proses perancangan pembangunan yang berasaskan data, keperluan semasa serta kepentingan masyarakat setempat.
Melalui kerjasama ini, UUM terus komited untuk menyokong agenda pembangunan negeri Perlis menerusi sumbangan ilmu, penyelidikan dan kepakaran yang mampu memberi nilai tambah kepada perancangan pembangunan negeri secara mampan dan berdaya saing. – Dr. Aidanajwa Sabri



