Pengurusan TVET UUM mengadakan kunjungan hormat ke Perbadanan Melaka (MCORP), bincang pemerkasaan TVET Tahfiz di Negeri Melaka
Berita dan gambar oleh: Kamal Bin Khalid
MELAKA, 2 Julai 2026: Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Perbadanan Melaka (MCORP) sebagai langkah memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam memperkasa pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya TVET Tahfiz di Negeri Melaka.
Kunjungan hormat yang berlangsung di ibu pejabat Perbadanan Melaka (MCORP) itu telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd. Yusuf Abu Bakar, bersama barisan pengurusan kanan agensi tersebut.

Delegasi Pengurusan TVET UUM diketuai oleh Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi bin Hj. Ahmad, bersama Timbalan Pengarah Pengurusan TVET UUM, En. Kamal bin Khalid.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada perbincangan dua hala berkaitan ruang dan peluang kerjasama strategik dalam memperkasa pelaksanaan TVET Tahfiz di Negeri Melaka. Antara perkara yang dibincangkan termasuk pembangunan laluan pendidikan dan pensijilan kemahiran kepada lepasan institusi tahfiz, pemerkasaan modal insan berteraskan kemahiran, serta penyediaan peluang kerjaya yang lebih luas melalui pensijilan kemahiran yang diiktiraf.

Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai pelaksanaan program-program pembangunan kemahiran yang mampu mengintegrasikan pendidikan tahfiz dengan latihan teknikal dan vokasional sejajar dengan aspirasi Dasar TVET Negara serta keperluan industri semasa.
Datuk Mohd. Yusuf Abu Bakar menyambut baik hasrat Pengurusan TVET UUM untuk bekerjasama dengan MCORP dalam meneroka inisiatif yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan ekosistem TVET Tahfiz di Negeri Melaka. Beliau turut menyatakan komitmen MCORP untuk meneliti bentuk kerjasama yang berpotensi memberi manfaat kepada pembangunan modal insan negeri.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi bin Hj. Ahmad berkata, kunjungan hormat ini merupakan platform penting dalam membina sinergi strategik antara institusi pendidikan tinggi dan agensi pembangunan negeri bagi memperluaskan akses pendidikan kemahiran kepada golongan sasaran, khususnya pelajar dan lepasan institusi tahfiz.
Beliau yakin kerjasama erat antara Pengurusan TVET UUM dan MCORP akan membuka lebih banyak peluang dalam membangunkan program TVET Tahfiz yang holistik, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran kerja, sekali gus melahirkan tenaga mahir yang seimbang dari aspek kemahiran teknikal, profesionalisme dan nilai-nilai Islam.
Kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan sesi perbincangan lanjut bagi mengenal pasti mekanisme pelaksanaan serta perancangan kerjasama strategik yang boleh direalisasikan dalam masa terdekat demi memperkukuh agenda pemerkasaan TVET Tahfiz di Negeri Melaka.



