Education

UUM, USIM bekerjasama tingkat kesedaran kesihatan berteraskan konsep One Health dalam kalangan penduduk FELCRA

Berita dan gambar Nurul Farhani Mohamad Khairi

PADANG BESAR, 6 Julai 2026: Kelab Logistik dan Pengangkutan (LogTrans) di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya menganjurkan Program One Health Northern Expedition: Explore, Educate & Empower di FELCRA Lubuk Sireh, Padang Besar.

Program yang melibatkan seramai 46 ahli jawatankuasa, terdiri daripada lapan pelajar Logistik dan Pengangkutan UUM, 36 pelajar Perubatan USIM serta dua pensyarah pengiring USIM dan seorang pensyarah pengiring UUM, bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan komuniti setempat, memupuk semangat kesukarelawanan serta mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang berteraskan konsep One Health.

Pensyarah pengiring program, Prof. Madya Dr. Dzulkhairi Mohd Rani berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari melalui aktiviti khidmat komuniti, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan, kebersihan persekitaran dan pencegahan penyakit.

Menurutnya, peserta telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuk sesi senamrobik, gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran serta ceramah kesihatan bertajuk “Gigitan Ular: Kenali Risiko dan Tindakan Awal” yang disampaikan oleh panel OHSC.

Katanya, program seperti ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan hidup sihat dan kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, malah berjaya membentuk nilai kepimpinan, kerjasama serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan melalui kerjasama yang lebih erat antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program USIM, Najwan Munif Murshid berkata, penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen mahasiswa dalam menyumbang kepada masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.

Najwan Munif turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang program berlangsung sehingga setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan lancar serta mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Wakil komuniti FELCRA Lubuk Sireh, Idris Hakim pula merakamkan penghargaan kepada pihak UUM dan USIM atas usaha menganjurkan program yang memberi impak positif kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, kebersihan persekitaran serta amalan gaya hidup sihat, di samping mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti.

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada Dr Muzani Zainon, Prof. Madya Dr. Dzulkhairi Mohd Rani dan Idris Hakim sebagai tanda penghargaan atas kerjasama, komitmen dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua peserta, ahli jawatankuasa dan wakil komuniti.

Program ini selaras dengan usaha Universiti Utara Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai kesukarelawanan, tanggungjawab sosial serta keprihatinan terhadap kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button