Education

Projek Maths For Everyone bantu tingkatkan penguasaan rumus algebra pelajar SMK Bandar Baru Sintok

Berita dan gambar Dr. Nurul Atiqah Talib

SINTOK, 6 Julai 2026: Projek Maths For Everyone yang diketuai oleh pelajar Sarjana Muda Pendidikan, Wan Noor Ain Wan Abdul Rahim berjaya membantu meningkatkan penguasaan topik rumus algebra dalam kalangan pelajar Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan berpusatkan pelajar.

Projek ini turut dilaksanakan oleh lapan pelajar lain dengan pengkhususan minor matematik sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Kursus Isu-isu dalam Pendidikan Matematik.

Pensyarah kursus, Dr. Nurul Atiqah Talib berkata, projek tersebut bertujuan memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pedagogi dalam situasi sebenar di sekolah, di samping menyumbang kepada usaha meningkatkan penguasaan matematik dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, sebelum projek dilaksanakan pada 16 Jun lalu, pasukan pelajar telah mengadakan sesi temu bual bersama dua guru matematik iaitu Cikgu Safina dan Cikgu Aziana bagi mengenal pasti isu pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar.

Hasil temu bual mendapati bahawa topik rumus algebra merupakan antara topik yang paling mencabar bagi pelajar Tingkatan 2, khususnya dalam memahami konsep, menggunakan rumus dengan tepat serta mengaplikasikannya dalam penyelesaian masalah.

Berdasarkan dapatan temu bual tersebut, pasukan pelajar melaksanakan satu intervensi pembelajaran yang disokong oleh ujian pra dan ujian pasca bagi menilai keberkesanannya. Intervensi tersebut merangkumi sesi pengajaran, aktiviti berkumpulan dan permainan berasaskan matematik yang bertujuan meningkatkan kefahaman serta keyakinan murid dalam menguasai rumus algebra. Perbandingan keputusan ujian pra dan ujian pasca telah menunjukkan peningkatan dalam penguasaan rumus algebra dalam kalangan murid.

Dr. Nurul Atiqah berkata, pelaksanaan projek berasaskan keperluan seperti ini membolehkan intervensi pendidikan dirancang dengan lebih sistematik dan berkesan kerana aktiviti yang dilaksanakan disesuaikan dengan cabaran sebenar yang dihadapi oleh murid.

Menurutnya, projek seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sekolah, malah menyediakan pengalaman pembelajaran autentik kepada mahasiswa untuk menghubungkan teori yang dipelajari dengan amalan sebenar di bilik darjah.

Pelaksanaan Projek Maths For Everyone turut mencerminkan komitmen UUM dalam melahirkan bakal pendidik yang kompeten, kreatif dan berdaya saing, di samping memperkukuh hubungan kerjasama antara universiti dan institusi pendidikan melalui pelaksanaan projek pendidikan yang memberi impak kepada komuniti.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button