Education

NEXUS 2026 perkukuh jaringan akademik antarabangsa melalui kerjasama UUM dan Universitas Negeri Padang

Gambar Prof. Madya Dr. Mat Rahimi Yusof dan Nur Shamia Azmi

SINTOK, 7 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) telah berjaya menganjurkan program NEXUS 2026: Nurturing Educational Exchange & Understanding Through Synergy – A UNP–UUM International Mobility Programme bersama Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia pada 18 Jun lalu di Dewan Seminar CAS, UUM.

Program mobiliti antarabangsa ini dianjurkan sebagai platform strategik bagi memperkukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua institusi melalui perkongsian ilmu, pemindahan pengetahuan serta penerokaan peluang kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan mobiliti antarabangsa.

NEXUS 2026 yang digerakkan pelajar melalui PENDIDIK serta MPP SOE dan SAPSP ini, turut mencerminkan komitmen UUM dalam memperluas jaringan global sejajar dengan aspirasi pengantarabangsaan universiti, selain memberi nilai tambah kendiri kepada hampir 200 pelajar yang terlibat.

Majlis dimulakan dengan ketibaan delegasi dari Universitas Negeri Padang dan sesi pendaftaran peserta sebelum diteruskan dengan majlis perasmian oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, SOE, Prof. Madya Dr. Mat Rahimi Yusof yang mewakili pihak UUM dan Dekan SOE mengalu-alukan delegasi UNP dan kemudiannya merasmikan majlis NEXUS 2026.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan oleh Dekan Fakultas Ilmu Pendidikan, UNP, Prof. Dr. Afdal yang melancarkan gimik program NEXUS 2026 dengan diiringi Dr. Mat Rahimi dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, yang mewakili Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr Azrin Nazir.

Selepas majlis perasmian, delegasi UNP dan pihak UUM mengadakan Sesi Perbincangan Jalinan Kerjasama UNP–SOE–SAPSP yang memberi fokus kepada pembangunan kerjasama akademik secara holistik.

Perbincangan tersebut merangkumi potensi pelaksanaan program mobiliti pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama, penerbitan akademik bersama, penganjuran program akademik antarabangsa serta inisiatif lain yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua institusi.

Dalam masa yang sama, pelajar turut mengikuti “Sesi Bridging Borders Through Knowledge” yang disampaikan Prof. Madya Dr. Norasyikin Mohaiyuddin daripada SOE dan Prof. Madya Dr. Siti Rozaina Kamsani daripada SAPSP. Sesi ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan semasa dalam bidang pendidikan kaunseling, psikologi gunaan serta dunia kerjaya kaunselor, di samping membuka ruang interaksi akademik dan perkongsian pengalaman rentas negara.

Program NEXUS 2026 berjaya menghimpunkan delegasi akademik, pensyarah dan pelajar daripada kedua-dua universiti dalam suasana yang kondusif bagi memperkukuh persefahaman, membina jaringan profesional serta memupuk budaya kolaborasi antarabangsa.

Program ini juga menjadi platform yang signifikan untuk meningkatkan kompetensi global warga universiti melalui perkongsian amalan terbaik dan pengalaman akademik merentas sempadan.

Penganjuran NEXUS 2026 diharapkan menjadi pemangkin hubungan strategik yang lebih kukuh antara Universiti Utara Malaysia dan Universitas Negeri Padang, sekali gus membuka ruang dimensi kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi, mobiliti akademik dan pembangunan modal insan pada peringkat serantau serta antarabangsa. – Dr. Muhammad Asyraf Abdul Rahman

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button