Campus

Poomsae & Virtual Taekwondo UUM Championship 2026 tarik penyertaan seluruh negara

Gambar Pusat Kokurikulum

SINTOK, 7 Julai 2026: Kejohanan Poomsae & Virtual Taekwondo UUM Championship 2026 yang berlangsung pada 3 sehingga 4 Julai lalu di Pusat Sukan, Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menghimpunkan penyertaan yang memberangsangkan daripada atlet dan kelab taekwondo dari seluruh negara.

Kejohanan anjuran Pusat Kokurikulum UUM dengan kerjasama Pusat Sukan UUM serta Kelab Taekwondo Changlun Star ini turut mendapat sokongan padu daripada pelajar Kokurikulum Taekwondo yang bertindak sebagai urusetia program, selain dibantu oleh sukarelawan dalam kalangan pelajar UUM.

Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat atlet dalam acara poomsae serta taekwondo maya (virtual taekwondo), malah berperanan memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, persatuan, kelab dan komuniti sukan taekwondo di Malaysia.

Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Za’im Ahmad berkata, kejohanan ini mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berdaya saing melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.

“Penganjuran kejohanan ini bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform pembentukan sahsiah, kepimpinan, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar.

“Pengalaman mengurus dan menyertai program berskala kebangsaan memberi nilai tambah kepada pembangunan kemahiran insaniah serta menyokong aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kejohanan ini selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs) khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan, serta SDG 17: Perkongsian demi Matlamat, menerusi penglibatan pelbagai institusi, komuniti dan agensi dalam menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Penyelaras Unit Sukan dan Bela Diri, Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Amalia Rosmadi berkata, penggunaan teknologi melalui acara Virtual Taekwondo membuktikan bahawa sukan mampu berkembang seiring dengan transformasi digital dan inovasi.

“Kejohanan ini memperlihatkan bagaimana teknologi dapat dimanfaatkan dalam pembangunan sukan tanpa mengabaikan nilai disiplin, integriti dan semangat kesukanan.

“Pada masa yang sama, penglibatan pelajar sebagai urusetia dan sukarelawan memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan kemahiran pengurusan acara, komunikasi, kepimpinan serta kerja berpasukan dalam situasi sebenar,” katanya.

Beliau menambah bahawa kejohanan ini turut menyokong prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) melalui pelaksanaan program yang menitikberatkan penggunaan sumber secara berhemah, pemerkasaan komuniti, pembangunan modal insan serta tadbir urus program yang sistematik dan inklusif.

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai kategori pertandingan telah dipertandingkan dengan penyertaan yang amat menggalakkan daripada atlet pelbagai peringkat umur dan latar belakang. Suasana pertandingan yang kompetitif namun harmoni memperlihatkan semangat kesukanan tinggi serta mengukuhkan hubungan antara peserta, jurulatih dan pegawai dari seluruh negara.

Kejayaan penganjuran Poomsae & Virtual Taekwondo UUM Championship 2026 sekali lagi membuktikan keupayaan Universiti Utara Malaysia sebagai institusi yang komited dalam memperkasa pembangunan sukan, kokurikulum dan kepimpinan pelajar melalui penganjuran program berkualiti yang memberi impak kepada komuniti serta menyokong agenda pembangunan mampan negara. – Nur Khairiel Anuar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button