Education

KIK INFINITHINK UUM raih pingat emas di Pentas Inovasi Antarabangsa 2I2C 2026

Gambar Fadzilah Hussin

PULAU PINANG, 7 Julai 2026: Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) INFINITHINK Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar kejayaan membanggakan apabila meraih pingat emas menerusi inovasi MuseUUM: An Integrated Museum Collection Management System for Digital Heritage Governance in Higher Education dalam The Second International Informatics Creativity Competition (2I2C) 2026 yang berlangsung di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), semalam.

Anugerah yang dimenangi dalam Kategori Organisations itu menjadi pengiktirafan terhadap kecemerlangan pasukan dalam membangunkan penyelesaian digital bagi memperkukuhkan pengurusan koleksi muzium serta tadbir urus warisan digital dalam institusi pendidikan tinggi.

Pertandingan bertaraf antarabangsa itu menghimpunkan lebih 50 penyertaan daripada pelbagai institusi dan organisasi, sekali gus menjadikan pencapaian pasukan INFINITHINK sebagai satu kejayaan yang signifikan buat universiti.

2I2C 2026 dianjurkan oleh Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) bersempena Penang ASEAN Book Fair 2026.

Pertandingan yang bertemakan “Reimagining Information Literacy and Digital Citizenship for an Informed Society” itu menjadi platform kepada penyelidik, organisasi, pelajar dan komuniti untuk mengetengahkan idea serta inovasi dalam bidang perpustakaan, pengurusan maklumat dan teknologi digital.

Kejayaan tersebut lebih bermakna apabila INFINITHINK merupakan pasukan kolaboratif rentas jabatan yang diterajui Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan penglibatan ahli daripada UUM Information Technology (UUMIT) dan UniFilm UUM.

Gabungan kepakaran dalam bidang kepustakawanan, teknologi maklumat, kuratorial, pengurusan maklumat dan multimedia telah menyumbang secara langsung kepada pembangunan sistem MuseUUM.

Pasukan INFINITHINK diketuai oleh Fadzilah Hussin, dibantu Suparman Sukri sebagai fasilitator dan Siti Suriyani Muhamad selaku Setiausaha. Ahli pasukan terdiri daripada Noraini Alias, Nur Darina Khairil Anwar, Mohd Shazwan Nabil Shukor, Uzma Aqilah Md Zain, Mohd Amirul Kasyful Nur Zulkifli, Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail, Zaihasrim Mohd Dawal dan Iznan Kasim.

Fadzilah berkata, MuseUUM dibangunkan sebagai sistem pengurusan koleksi muzium bersepadu yang mengintegrasikan pelbagai aspek pengurusan koleksi dalam satu persekitaran digital.

Menurutnya, sistem ini membolehkan proses dokumentasi, penyimpanan rekod dan pengurusan maklumat koleksi dilaksanakan secara lebih sistematik, tersusun dan efisien.

“Pengiktirafan tersebut merupakan hasil komitmen serta kerjasama erat seluruh ahli pasukan yang menggabungkan kepakaran daripada pelbagai bidang.

“Gold Award ini amat bermakna buat seluruh pasukan INFINITHINK. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan dedikasi semua ahli yang berganding bahu membangunkan MuseUUM. Kami berharap inovasi ini dapat terus diperkasakan dan memberi manfaat kepada pengurusan koleksi muzium serta pemeliharaan warisan di UUM,” katanya.

Fadzilah turut menyifatkan kejayaan itu sebagai pemangkin untuk pasukan meneruskan usaha penambahbaikan sistem serta meneroka potensi penggunaannya pada skala yang lebih luas pada masa hadapan.

Pencapaian di pentas 2I2C 2026 ini mencerminkan komitmen berterusan warga UUM dalam membudayakan inovasi, kreativiti dan kerjasama strategik merentas jabatan. Pada masa sama, kejayaan tersebut memperlihatkan keupayaan universiti menghasilkan penyelesaian digital yang memenuhi keperluan sebenar organisasi dan menyumbang kepada pemerkasaan pengurusan warisan digital negara.

Tahniah kepada Kumpulan KIK INFINITHINK atas kejayaan meraih Gold Award di The Second International Informatics Creativity Competition (2I2C) 2026. –  Siti Ainsyah Kamis

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button