SoG dan GSGSG tawar laluan pascasiswazah buat warga SUK Selangor
Berita dan gambar Dr. Nur’Jila Mohammad
SELANGOR, 7 Julai 2026: Menerusi inisiatif strategik bersama Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) UUM melebarkan sayap ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor untuk mempromosikan peluang pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) khusus bagi memperkasakan kelayakan akademik penjawat awam.

Dekan SOG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada pegawai dan kakitangan SUK Selangor untuk keluar dari zon selesa dan menyahut cabaran menyambung pelajaran.
Menurutnya, SOG dan GSGSG sentiasa bersedia menyokong perjalanan akademik dengan menawarkan program yang fleksibel dan relevan dengan keperluan sektor awam masa kini.
“Jadikan hari ini sebagai titik tolak untuk mencipta legasi kecemerlangan kerjaya anda.
“Menyambung pengajian pascasiswazah bukan sekadar untuk segulung ijazah, tetapi pelaburan intelektual yang mematangkan cara kita menyelesaikan isu rakyat secara inovatif,” katanya.

Sesi diteruskan dengan taklimat akademik terperinci oleh Pengerusi Pascasiswazah, Dr. Nur’Jila Mohammad yang menjelaskan bahawa UUM adalah pilihan yang praktikal kerana ia merupakan universiti pengurusan utama negara, menawarkan kurikulum yang relevan dengan keperluan sektor awam, serta menyediakan jadual pembelajaran fleksibel yang mesra pekerja.
Program ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada kakitangan SUK Selangor yang berminat. Usaha sama ini diyakini mampu melahirkan modal insan sektor awam yang berilmu, kompeten, dan tangkas, sekali gus memacu kecemerlangan perkhidmatan awam negeri dan negara.



