BusinessCampus

IPR-INTAN UUM menawarkan sayuran segar dari ladang kepada warga kampus

Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Roslina Kamaruddin

SINTOK, 7 Julai 2026 – Projek IPR-INTAN UUM memperkenalkan hasil tanaman mereka kepada warga universiti melalui jualan sayuran segar sempena Perhimpunan Bulanan Staf dan Majlis Penutupan Sukan Staf UUM yang berlangsung di Stadium UUM.

Antara sayur yang dijual ialah sawi dan kangkung segar yang dituai terus dari ladang pada pagi jualan, selain produk hiliran iaitu Sambal Sintok yang dihasilkan oleh peserta Projek IPR-INTAN UUM. Turut dijual ialah nanas MD2 keluaran Agro Farm SEFB.

Projek IPR-INTAN UUM melibatkan penyertaan belia B40 di sekitar Universiti Utara Malaysia yang diberi latihan, bimbingan dan pendedahan dalam pertanian moden serta keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan dan memperkukuh taraf sosioekonomi mereka.

Jualan tersebut mendapat sambutan menggalakkan kerana sayuran yang ditawarkan berteraskan konsep “Farm Fresh, Pesticide-Free & Campus Grown”, iaitu dituai segar dari ladang di dalam kampus UUM dan ditanam tanpa penggunaan racun perosak.

Selain berkualiti dan selamat, hasil pertanian ini turut dijual pada harga yang berpatutan, sekali gus memberi peluang kepada warga kampus mendapatkan bekalan sayuran segar dan sihat.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamad, dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, turut melawat gerai jualan bagi melihat sendiri hasil tanaman dan produk yang diusahakan oleh peserta projek.

Inisiatif ini bukan sahaja membolehkan warga UUM menikmati hasil pertanian segar, malah setiap pembelian turut menyokong pemerkasaan ekonomi belia B40 melalui aktiviti pertanian dan keusahawanan yang dibimbing oleh penyelidik UUM. Program ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkasa komuniti setempat, membangunkan modal insan dan melahirkan usahawan tani yang berdaya saing.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button