Campus

Pelajar BWRRK3093 berkongsi ilmu dengan peserta projek pertanian IPR-INTAN UUM tentang risiko dalam pertanian

Gambar Mohd Khairi Azri Mohammad Nor

SINTOK, 8 Julai 2026: Pelajar program Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans (BRMI) yang mengikuti kursus BWRRK3093 Seminar in Risk Management and Insurance (B) telah melaksanakan program Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) bertajuk “Agricultural Safety and Risk Management for IPR-INTAN UUM Project Participants” di tapak projek IPR-INTAN Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pensyarah, SEFB, Dr. Amar Yasier Razli berkata, program ini dilaksanakan sebagai platform perkongsian ilmu antara pelajar dengan peserta projek pertanian IPR-INTAN UUM, khususnya berkaitan keselamatan pertanian, pengenalpastian risiko dan amalan kerja selamat dalam aktiviti pertanian.

Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian dan demonstrasi oleh pelajar mengenai pengurusan racun makhluk perosak, penggunaan peralatan semburan pertanian, kaedah pelupusan bekas racun secara selamat melalui kaedah bilasan tiga kali, serta kepentingan penggunaan peralatan perlindungan diri atau Personal Protective Equipment (PPE).

Melalui sesi tersebut, peserta diberi pendedahan tentang risiko yang sering wujud dalam aktiviti pertanian seperti pendedahan kepada bahan kimia, kecederaan akibat peralatan, risiko kesihatan dan pencemaran alam sekitar.

Pelajar turut menekankan kepentingan langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat.

Selain sesi perkongsian, program ini turut diserikan dengan aktiviti interaktif seperti kuiz bagi menguji kefahaman peserta terhadap topik yang dibincangkan. Pendekatan ini menjadikan sesi pembelajaran lebih santai, mudah difahami dan sesuai dengan konteks kerja harian peserta di tapak pertanian.

Program SULAM ini turut memberi manfaat kepada pelajar apabila mereka berpeluang mengaplikasikan konsep pengurusan risiko dalam situasi sebenar. Pada masa yang sama, pelajar dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan dan penyelesaian masalah melalui pelaksanaan aktiviti bersama komuniti.

Secara keseluruhannya, program ini memperlihatkan peranan SULAM sebagai ruang pembelajaran dua hala, apabila pelajar berkongsi ilmu berkaitan keselamatan pertanian dan pengurusan risiko dengan komuniti, di samping memperoleh pengalaman langsung tentang cabaran sebenar yang dihadapi peserta projek pertanian. – Lai Wei Xian

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button