Campus

Program Bubur Asyura: Tradisi kita nikmat bersama

Gambar Media, Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Kerohanian dan Rekreasi, SLCP

SINTOK, 8 Julai 2026: Bersempena keberkatan bulan Muharam, satu program mengacau bubur Asyura telah berjaya dianjurkan dalam suasana penuh harmoni dan semangat kebersamaan.

Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Kerohanian dan Rekreasi, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dengan kerjasama Unit Bahasa Antarabangsa SLCP itu bertujuan menghidupkan tradisi penyediaan bubur asyura di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan staf SLCP.

Program ini juga turut melibatkan penyertaan seorang staf bahasa Mandarin dari China, Cik Yang Jia yang teruja untuk bersama-sama menyediakan juadah warisan tradisi masyarakat Malaysia ini.

“Melalui aktiviti memasak ini, semangat kerjasama dan bergotong-royong ini berjaya menyerlahkan lagi pemahaman saya mengenai budaya masyarakat Malaysia yang begitu unik, ” katanya.

Bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung,  bulat manusia kerana muafakat”, program ini menjadi platform untuk memupuk nilai kerjasama, semangat sukarela serta budaya saling membantu.

Penganjuran program seumpama itu bukan sahaja bertujuan mengekalkan warisan tradisi makanan masyarakat Melayu, malah menjadi medium untuk memperkukuhkan ukhuwah serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan staf.

Sebanyak 100 pek bubur asyura berjaya disiapkan dan kemudiannya diedarkan kepada staf SLCP sebagai tanda berkongsi rezeki. – Nasrol Hadi Ahmad Shukeri

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button