Campus

Pengajian Kitab Penawar bagi Hati bersama Baba Mokhtar benteng warga UUM dan ummah daripada penyakit hati dan fitnah

Gambar Pusat Islam UUM

SINTOK, 8 Julai 2026: Seramai 70 peserta telah menghadiri Pengajian Kuliah Bulanan pada Selasa setiap minggu pertama yang disampaikan oleh Tuan Guru Baba Mokhtar Ahmad, Guru Pondok dari Pattani Thailand di Dewan Seminar, Kompleks Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Kuliah yang dianjurkan oleh Pusat Islam UUM itu mengupas dua buah kitab iaitu Penawar Bagi Hati dan Persediaan Bagi Sakit Mati yang memberi penekanan kepada pengukuhan ilmu fardu ain merangkumi ilmu akidah, syariah dan tasawuf sebagai asas pembentukan peribadi Muslim yang beriman, berilmu serta berakhlak mulia.

Melalui kitab Penawar Bagi Hati, peserta didedahkan kepada kepentingan ilmu tasawuf dalam menyucikan hati daripada sifat-sifat mazmumah seperti riak, ujub, hasad dengki, takbur, dendam dan cinta dunia yang berlebihan. Dalam masa yang sama, peserta digalakkan menghiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, sabar, syukur, tawakal, reda serta kasih sayang sesama insan untuk mencari keredoan Ilahi.

Tuan Guru Baba Mokhtar berkata, hati yang dipenuhi penyakit akan menjadi punca kepada pelbagai kerosakan dalam kehidupan diri dan bermasyarakat.

“Penyakit hati seperti hasad dengki, iri hati, kebencian dan takbur boleh mendorong seseorang melakukan fitnah, mengadu domba, menyebarkan berita yang tidak benar, bersifat dengan takbur serta membuka aib diri sendiri sendiri kepada orang lain.

“Justeru, penyucian jiwa melalui ilmu tasawuf merupakan benteng penting dalam melahirkan individu yang sentiasa menjaga lidah, akhlak, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan pencipta iaitu Allah SWT,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penyucian hati adalah pelengkap kepada pelaksanaan ibadah fardu ain supaya setiap amal dilakukan dengan penuh keikhlasan, seterusnya diterima oleh Allah SWT  sebagai pahala ibadah serta menjadi bekalan menuju kehidupan akhirat.

Sementara itu, pengajian kitab Persediaan Bagi Sakit Mati mengingatkan peserta tentang kepentingan melengkapkan diri dengan ilmu fardu ain, memperkukuhkan akidah, memperbanyakkan amal soleh kerana kematian itu sebagai tempat untuk kita mengambil keuntungan selama kita melabur di dunia ini.

“Kita tidak perlu takut dengan kematian, tetapi sepatutnya kita suka dengan kematian kerana dengan berlakunya kematian belakulah waktu untuk menerima gaji atau pendapatan selamat kita beramal di dunia ini,” katanya.

Penganjuran kuliah seumpama ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya menuntut ilmu, memperkukuhkan kefahaman agama serta meningkatkan penghayatan terhadap ajaran Islam dalam kehidupan seharian. Usaha ini juga selari dengan aspirasi Universiti Utara Malaysia untuk Menjulang Ilmu, Mengakar Adab, sekali gus melahirkan warga yang bukan sahaja cemerlang dari aspek intelektual, malah memiliki kekuatan rohani, kemurnian akhlak dan keperibadian yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan ummah serta kehormonian masyarakat. – Syahril Fazli Mat Hussain

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button