Education

Projek Mini Kebun Theorelians Eco Zone: UUM Perkenal Sistem Penuaian Air Hujan Kepada Murid SK Felda Laka Selatan

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Zainal Md. Zan

CHANGLUN, 9 Julai 2026: Projek Mini Kebun: Theorelians Eco Zone di Sekolah Kebangsaan Felda Laka Selatan memasuki fasa baharu apabila murid-murid sekolah berkenaan didedahkan dengan sistem Penuaian Air Hujan (rainwater harvesting) bagi menyokong keperluan air projek kebun mini tersebut, semalam.

Ceramah dan penerangan yang disertakan dengan demonstrasi menggunakan peralatan sebenar itu disampaikan oleh Prof. Madya Sr. Dr. Mohd. Nazaruddin Yusoff daripada Housing Research Group, Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program tersebut merupakan kesinambungan daripada program pemindahan ilmu sebelum ini yang memperkenalkan murid kepada penghasilan model baja kompos mini menggunakan sisa dapur, sekali gus melengkapkan komponen sokongan utama projek kebun mini sekolah itu.

Menerusi sesi berkenaan, murid-murid diberi pendedahan tentang konsep asas penuaian air hujan, iaitu kaedah mengumpul dan menyimpan air hujan untuk kegunaan semula, khususnya bagi tujuan penyiraman tanaman di kebun mini sekolah.

Pada program yang sama, satu sesi perbincangan turut diadakan antara Guru Besar SK Felda Laka Selatan, Kamariah Kamaruddin bersama dua lagi pensyarah SOG UUM iaitu Prof. Dr. Hamidi Ismail dan Prof. Madya Dr. Zainal Md. Zan daripada Development & Environment Research Group bagi meneruskan kesinambungan khidmat penasihatan Projek Theorelians Eco Zone, khususnya dalam konteks pengurusan landskap dan baja kompos.

Sementara itu, Kamariah melahirkan rasa puas hati terhadap pelaksanaan projek kebun mini yang berjalan lancar setakat ini.

“Saya berharap projek ini dapat diteruskan sehingga berjaya dengan lengkap kerana ia memberikan impak pembelajaran yang sangat bermakna kepada murid-murid,” katanya.

Kerjasama erat antara UUM dan SK Felda Laka Selatan menerusi Projek Theorelians Eco Zone ini diharap dapat terus diperkukuhkan sebagai platform pemindahan ilmu universiti kepada komuniti sekolah dalam membina generasi muda yang celik alam sekitar dan menyokong agenda pembangunan mampan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button