Education

Kerjasama strategik bersama DVS bagi kemampanan sara diri makanan ternakan ruminan

Gambar Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah

ALOR SETAR, 9 Julai 2026: Pasukan penyelidik dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) mengorak langkah proaktif ke arah kelestarian kampus dan sekuriti makanan menerusi satu mesyuarat perundingan strategik bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri Kedah, baru-baru ini.

Mesyuarat perbincangan ini memfokuskan kepada khidmat nasihat pakar bagi menjayakan projek inovasi makanan ruminan lestari yang diterajui oleh barisan penyelidik iaitu Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi, Dr. Nooraini Ismail, Dr. Mawaddah Mohamad dan Dr. Maheera Mohamad.

Dr. Nur Syazwani berkata, inisiatif hijau ini bertujuan untuk mengatasi kebergantungan terhadap pembekal luar bagi bekalan makanan populasi ruminan yang selama ini menyumbang kepada kos operasi yang tinggi dan tidak menentu.

Sebagai solusi inovatif, pasukan penyelidik memanfaatkan sisa rantaian pertanian tempatan seperti daun kenaf dan petes tebu untuk diformulasikan menjadi prototaip pelet makanan haiwan yang berkhasiat tinggi.

Dalam sesi mesyuarat yang bermakna ini, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah memberikan input-input kritikal merangkumi aspek ujian makmal, formulasi bahan, reka bentuk protokol ujian pemakanan terkawal serta petunjuk prestasi kesihatan ternakan.

“Rundingan ini amat penting bagi memastikan prototaip pelet yang dihasilkan bukan sahaja kos efektif, malah menepati standard piawaian nutrisi dan amalan kebajikan haiwan yang ditetapkan di peringkat nasional.

“Melalui bimbingan teknikal daripada DVS, projek ini dijangka mampu membantu mencapai agenda sara diri bekalan dedak, mengurangkan kos operasi, dan seterusnya merealisasikan model kampus lestari berkonsepkan ekonomi kitaran (circular economy),” katanya.

Susulan daripada mesyuarat ini, fasa pembangunan formulasi makmal akan dipergiat sebelum ujian pemakanan rintis dimulakan dalam masa terdekat. – Saidatul Akhmal Razali

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button