Campus

Majlis Tautan Kasih Perkukuh Ukhuwah Sekretariat Sahabat Masjid Sultan Badlishah UUM

Berita dan gambar Wan Norzuhaidi Wan Abdullah

SINTOK, 12 Julai 2026: Sekretariat Sahabat Masjid Sultan Badlishah, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Majlis Tautan Kasih di dapur memasak Pusat Islam UUM sebagai platform memperkukuhkan ukhuwah, menyemai semangat kebersamaan serta memperkasa budaya kesukarelawanan dalam kalangan ahlinya.

Program yang menghimpunkan pelajar UUM yang aktif menggerakkan pelbagai aktiviti pengimarahan Masjid Sultan Badlishah itu diisi dengan aktiviti rewang, gotong-royong menyediakan juadah dan jamuan makan bersama. Aktiviti tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah memupuk nilai kerjasama, saling membantu, disiplin dan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah organisasi.

Ketua Unit Takmir Masjid dan Surau Pusat Islam UUM, Mohd Firdaus Ahmat berkata, Majlis Tautan Kasih menjadi medium penting untuk membina semangat kekitaan dan memperkukuhkan hubungan sesama ahli sekretariat agar mereka dapat terus berganding bahu menjayakan agenda pengimarahan masjid.

“Sekretariat Sahabat Masjid bukan sekadar sebuah organisasi pelajar, tetapi sebuah keluarga yang digerakkan atas semangat ukhuwah dan khidmat.

“Hubungan yang erat akan menjadi kekuatan utama dalam memastikan setiap program dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat kepada warga kampus,” katanya.

Menurutnya, program seumpama itu turut menyumbang kepada pembentukan jati diri, kepimpinan dan sahsiah mahasiswa melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan.

Majlis turut dimanfaatkan sebagai ruang perbincangan tidak formal bagi berkongsi idea dan merancang pelaksanaan program Sekretariat Sahabat Masjid pada masa hadapan.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Islam UUM dalam memperkukuhkan pembangunan sahsiah mahasiswa melalui penghayatan nilai ukhuwah, kepimpinan dan kesukarelawanan, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang seimbang dari aspek intelektual, spiritual dan nilai insaniah.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button