Barakah Care @ Final Exam santuni pelajar UUM hadapi peperiksaan akhir
Gambar Pusat Islam UUM
SINTOK, 12 Julai 2026: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan usaha menyantuni kebajikan pelajar menerusi Program Barakah Care @ Final Exam dengan mengagihkan pek makanan ringan dan air minuman kepada pelajar yang menduduki peperiksaan akhir semester, baru-baru ini.

Program yang dilaksanakan di sekitar kampus UUM itu merupakan antara inisiatif Pusat Islam UUM untuk memberikan sokongan moral kepada pelajar agar terus bersemangat dan tenang sepanjang menghadapi peperiksaan. Lebih bermakna, sumbangan yang diagihkan merupakan hasil infak dan sumbangan orang ramai yang disalurkan semula bagi membantu kebajikan pelajar.
Ketua Bahagian Perkhidmatan Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UUM, Madihah Mohamed Ibrahim berkata, Program Barakah Care @ Final Exam menjadi manifestasi keprihatinan Pusat Islam terhadap kebajikan pelajar, khususnya ketika mereka melalui tempoh peperiksaan yang menuntut ketahanan fizikal dan emosi.

“Walaupun sumbangan yang diberikan sederhana, kami berharap ia mampu menceriakan hari pelajar, memberi suntikan motivasi dan menjadi tanda bahawa mereka sentiasa mendapat sokongan serta doa daripada warga Pusat Islam dan para penyumbang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri berharap program berteraskan kebajikan seperti Barakah Care @ Final Exam dapat terus menyemarakkan budaya ihsan, keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan warga universiti.

Menurutnya, setiap sumbangan yang diterima daripada masyarakat merupakan satu amanah yang dimanfaatkan sebaiknya bagi membantu pelajar, sekali gus membuktikan bahawa amalan berinfak mampu memberikan impak yang besar kepada kesejahteraan komuniti kampus.
Program Barakah Care @ Final Exam mencerminkan komitmen berterusan Pusat Islam UUM dalam melestarikan pendekatan “Melestari Islam Holistik” melalui pelaksanaan inisiatif kebajikan yang bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal pelajar, malah menyuntik semangat dan menyemai nilai kasih sayang serta kebersamaan dalam kehidupan di kampus. – Nor Azlinah Zaini


