Campus

UUM rai 89 graduan Kohort Pertama Program Tauliah Industri dan Profesional KPTiP bidang Pengangkutan dan Logistik

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 12 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) meraikan seramai 89 graduan Kohort 1 Program Tauliah Industri dan Profesional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTiP) bagi bidang Pengangkutan dan Logistik pada Majlis Graduasi yang berlangsung di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM pada 2 Julai lalu.

Graduan terdiri daripada 43 peserta mengikuti Program Sijil Profesional dalam Logistik Halal dan 46 peserta mengikuti Program Sijil Profesional dalam Perancangan dan Pengurusan Penerbangan.

Majlis graduasi itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang mewakili Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dalam ucapan Dr. Ahmad Martadha berkata, Program Tauliah Industri dan Profesional (KPTiP) merupakan satu inisiatif strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuhkan agenda pembangunan modal insan negara melalui integrasi ilmu akademik, latihan industri dan pengiktirafan profesional.

Menurutnya, program berkenaan membuktikan komitmen berterusan KPT bersama institusi pengajian tinggi dalam menyediakan tenaga kerja yang berdaya saing, kompeten dan memenuhi kehendak industri.

“UUM sentiasa komited memperkukuhkan jaringan kolaborasi strategik bersama badan profesional dan rakan industri bagi memastikan pendidikan yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan semasa.

“Kerjasama erat bersama The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) dan Malaysian Maritime Logistics and Transport Centre (MaLTraC) melalui pelaksanaan program ini menjadi bukti jelas komitmen UUM dalam menyokong agenda transformasi pendidikan tinggi negara,” katanya.

Beliau berkata, kohort pertama program tersebut melibatkan 89 peserta yang mengikuti dua program profesional iaitu Professional Certificate in Aviation Planning and Management dan Professional Certificate in Halal Logistics.

Menurutnya, kedua-dua bidang berkenaan mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, khususnya dalam sektor logistik, pengangkutan dan pengurusan rantaian bekalan yang kini menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi global.

Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada semua graduan atas kejayaan menamatkan program berkenaan dengan cemerlang.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih, komitmen tinggi, disiplin yang mantap serta kesungguhan dalam menimba ilmu dan meningkatkan kompetensi diri.

“Saya berharap pencapaian yang diraikan hari ini menjadi pemangkin kepada graduan untuk terus melakar kecemerlangan, meningkatkan profesionalisme dan menyumbang kepakaran kepada pembangunan industri serta negara,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Dr. Ram Al Jaffri.

Beliau turut berharap program seperti KPTiP akan terus diperkasakan dan diperluaskan dengan lebih banyak bidang profesional pada masa hadapan bagi memastikan institusi pendidikan tinggi kekal relevan serta mampu memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah.

Pada majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), CILTM, MaLTraC, Centre for Logistics and Transport (CeLT), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), tenaga pengajar serta semua pihak yang telah menjayakan program berkenaan.

Program Tauliah Industri dan Profesional KPTiP bagi bidang Pengangkutan dan Logistik merupakan anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dan PTPTN dengan kerjasama CeLT-STML UUM, CILTM dan MaLTraC.

Program ini bertujuan memperkukuhkan kebolehpasaran graduan serta melahirkan tenaga profesional yang memiliki kompetensi tinggi selaras dengan keperluan industri logistik dan pengangkutan negara.

Hadir sama, Timbalan Presiden CILTM, ChLT Ts. Dr. Zawiah Abdul Majid, FCILT; Timbalan Pengarah MALTraC, Dr. Loke Keng Bin; Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Selamah Maamor; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim dan Pengurus Besar Airport Fire & Rescue Service, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Muhammad Hidayat Ismail serta pegawai-pegawai kanan universiti.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button