Campus

SAEP 2026 perkukuh jalinan akademik SOE, UUM – Universitas Merangin

Gambar Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin dan Dr. Nor Fauzian Kassim

SINTOK, 12 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) telah menganjurkan program jaringan antarabangsa ‘Strategic Academic Engagement and Partnership Programme’ (SAEP) bersama Universitas Merangin, Indonesia bertempat di Dewan Seminar CAS, UUM.

Program bertemakan ‘Strengthening Partnership, Shaping the Future of Education’ ini dianjurkan sebagai platform strategik bagi memperkukuhkan hubungan akademik antara UUM dan Universitas Merangin melalui perkongsian ilmu, perbincangan kerjasama serta penerokaan peluang kolaborasi dalam bidang pendidikan pascasiswazah, penyelidikan dan mobiliti antarabangsa.

SAEP 2026 turut mencerminkan komitmen UUM dalam memperluas jaringan akademik global melalui inisiatif pengantarabangsaan yang berimpak, sejajar dengan hasrat universiti untuk membina hubungan strategik bersama institusi pendidikan tinggi serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Jaringan Antarabangsa, SOE, Dr. Muhammad Asyraf Abdul Rahman yang mewakili Dekan SOE mengalu-alukan kedatangan delegasi Universitas Merangin seramai 72 orang yang terdiri daripada rektor, direktor, pensyarah dan pelajar pascasiswazah.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kolaborasi dan inovasi merupakan pemangkin kepada kecemerlangan ilmu di peringkat antarabangsa.

Beliau turut menyatakan bahawa hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi mampu membuka ruang yang lebih luas untuk perkongsian kepakaran, pembangunan akademik dan penghasilan impak bersama.

Sementara itu, Rektor Universitas Merangin, Prof. Madya Dr. Mardalena dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas sambutan yang diberikan oleh pihak SOE, UUM.

Beliau turut menyatakan hasrat Universitas Merangin untuk menjalin kolaborasi yang lebih meluas dengan UUM, khususnya dalam aspek perkongsian ilmu, mobiliti akademik dan kerjasama penyelidikan antara kedua-dua universiti.

Majlis turut diserikan dengan upacara tandatangan simbolik kerjasama antara kedua-dua institusi sebagai tanda komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan akademik dan antarabangsa.

Seterusnya, SOE dan Universitas Merangin mengadakan Sesi Perbincangan Jalinan Kerjasama yang memberi fokus kepada potensi kerjasama dalam pelbagai bentuk antara kedua-dua universiti.

Perbincangan tersebut membuka ruang kepada penerokaan kerjasama akademik yang lebih luas, termasuk peluang mobiliti pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama, penerbitan akademik, perkongsian kepakaran serta penganjuran program akademik rentas negara.

Dalam masa yang sama, satu sesi perkongsian turut diadakan bersama pelajar pascasiswazah yang mengetengahkan topik ‘Academic Excellence in Educational Management: Postgraduate Opportunities at SOE, UUM’ yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mua’azam Mohamad. Sesi ini memberi pendedahan kepada pelajar Universitas Merangin mengenai peluang pengajian pascasiswazah di Pusat Pengajian Pendidikan, UUM.

Sesi seterusnya, ‘Voices of UUM Postgraduates: Research and Student Life’ memberi peluang kepada pelajar untuk mendengar perkongsian pengalaman secara langsung berkaitan kehidupan sebagai pelajar pascasiswazah, budaya penyelidikan serta persekitaran pembelajaran di UUM.

Program SAEP 2026 berjaya menghimpunkan delegasi akademik, pensyarah dan pelajar dalam suasana yang harmoni bagi membina jaringan profesional, memperkukuh persefahaman antara institusi serta menggalakkan budaya kolaborasi akademik merentas sempadan.

Penganjuran program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada hubungan strategik yang lebih kukuh antara Universiti Utara Malaysia dan Universitas Merangin, sekali gus membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang pendidikan, penyelidikan, mobiliti akademik dan pembangunan modal insan pada peringkat serantau serta antarabangsa. – Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button