Campus

Pelajar STHEM anjur Mata Tripmania: The Holiday Expo – Fun Escape Deals, promosi pakej pelancongan

Gambar STHEM

SINTOK, 12 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan “MATA TRIPMANIA: The Holiday Expo – Fun Escape Deals” sebuah program berimpak tinggi yang dilaksanakan melalui kolaborasi strategik bersama Malaysia Tourism Agency Association (MATA) dan EDUMi Sdn. Bhd., selaku penaja utama bertempat di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM.

Program dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, EDUMi Sdn. Bhd., Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Jaaffar dan turut disertai oleh barisan pensyarah STHEM.

“Program seumpama ini amat bermanfaat dan membuka peluang kepada syarikat pelancongan untuk mempromosikan pakej pelancongan kepada semua warga UUM,” kata Dr. Abdul Rahman.

Program ini melibatkan kerjasama dari 30 syarikat pelancongan dan beberapa jualan makanan yang terkenal. Antara syarikat pelancongan yang terlibat adalah Hotel Raia, Menara Alor Setar, Grand Alora, Eijaz Travel & Tours, Splash Out Langkawi, Adya Hotel by The Blanket dan banyak lagi.

Program yang berlangsung selama sehari ini telah dikendalikan oleh 52 pelajar daripada gabungan program Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Golf).

Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), yang memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pengurusan acara dalam situasi sebenar melalui penglibatan secara langsung bersama pemain industri. – Nurul Azniza Nadzari

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button