STML, UUM dan UNSRAT meterai Surat Hasrat (LoI), perkukuh kerjasama akademik antarabangsa
Berita dan gambar Dr. Alminnourliza Noordin
MANADO, 12 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan apabila memeterai Surat Hasrat (LoI) bersama Universitas Sam Ratulangi (UNSRAT), Manado, Indonesia sebagai langkah awal ke arah kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti antarabangsa.

Dalam majlis tersebut, UUM diwakili oleh Prof. Ts. Dr. Mohd. Rizal Razalli dan Dr. Fariza Ahmad Mahyadin@Mahidin, manakala Universitas Sam Ratulangi diketuai oleh Dekan Fakultas Teknik, Prof. Dr. Eng. Ir. Liany Amelia Hendratta bersama barisan wakil fakulti yang bagi membincangkan potensi kerjasama antara kedua-dua institusi.
Pemeteraian LoI ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperluaskan jaringan akademik dan penyelidikan melalui pelbagai inisiatif yang merangkumi pertukaran pensyarah dan pelajar, penyelidikan kolaboratif, penerbitan bersama, penganjuran seminar dan persidangan antarabangsa, pembangunan kurikulum serta program mobiliti akademik.
Dr. Prof. Rizal berkata, kerjasama ini dijangka dapat meningkatkan perkongsian kepakaran, memperkukuhkan hubungan akademik serantau serta membuka lebih banyak peluang kepada penyelidik dan pelajar untuk terlibat dalam projek-projek berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Dr. Eng. Ir. Liany Amelia turut menyatakan penghargaan atas kesediaan UUM menjalin hubungan strategik dengan UNSRAT.

Beliau menyatakan bahawa kerjasama tersebut akan memberi manfaat kepada kedua-dua institusi, khususnya dalam memperkasakan kecemerlangan akademik dan penyelidikan di rantau ASEAN.
Majlis diakhiri dengan sesi pertukaran dokumen LoI dan penyampaian cenderamata sebagai simbolik permulaan hubungan kerjasama yang lebih erat antara STML, UUM dan UNSRAT.
Kerjasama ini dijangka menjadi asas kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada masa hadapan, sekali gus memperluaskan lagi peluang kolaborasi dalam pelbagai bidang strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua universiti.



