Campus

CeTMA UUM mengorak langkah strategik, pacu KPI dan aspirasi universiti

Berita dan gambar Mohd Fadzli Suhaimi

SINTOK, 12 Julai 2026: Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini membuktikan komitmen berterusan dalam menyokong agenda kecemerlangan universiti menerusi penganjuran Mesyuarat Perancangan dan Hala Tuju CeTMA Bersama Felo Bersekutu CeTMA 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat CeTMA.

Sesi strategik yang dipengerusikan oleh Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Zahayu Md Yusof serta dihadiri oleh barisan kepimpinan dan Felo Bersekutu CeTMA ini menjadi platform penting dalam menyelaraskan perancangan serta merangka hala tuju jabatan bagi tempoh 2026 hingga 2027.

Dr. Zahayu berkata, pelbagai agenda utama telah dibincangkan secara komprehensif, merangkumi pembentangan status semasa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta sesi sumbang saran berasaskan kepakaran merentas disiplin felo bersekutu.

Beliau menegaskan bahawa penganjuran mesyuarat ini bukan sekadar rutin perancangan, sebaliknya satu langkah proaktif jabatan dalam menggembleng secara optimum domain kepakaran felo bersekutu bagi memperkasakan fungsi dan keupayaan penawaran perkhidmatan CeTMA.

“Langkah ini sekali gus memastikan pengoperasian dan perancangan CeTMA sentiasa mensejajarkan diri secara berkesan dengan hasrat serta aspirasi pihak pengurusan tertinggi universiti,” katanya.

Sebagai salah sebuah Pusat Kecemerlangan (COE) universiti, CeTMA komited memantapkan tadbir urus dan memastikan pencapaian KPI strategik universiti dapat dipenuhi dengan cemerlang.

Usaha ini juga dirangka selari dengan sokongan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Hasil daripada sesi perbincangan ini, CeTMA kini bersedia mengorak langkah lebih jauh dengan pelan tindakan yang berfokus, efisien, dan berdaya saing demi melonjakkan nama UUM di persada akademik dan penyelidikan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button