Education

STML, UUM dan Jabatan Perikanan Malaysia laksana kajian penanda aras pengurusan Taman Laut Bunaken

Berita dan gambar Dr. Alminnourliza Noordin

SULAWESI UTARA, 12 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia telah melaksanakan kajian penanda aras pengurusan Taman Laut Bunaken, Sulawesi Utara, Indonesia sepanjang 4 hingga 8 Julai lalu bagi meneliti amalan terbaik dalam pengurusan kawasan perlindungan marin, pemuliharaan biodiversiti serta pembangunan ekopelancongan yang mampan.

Delegasi STML, UUM yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Mohd. Rizal Razalli bersama pegawai Jabatan Perikanan Malaysia melaksanakan kajian ini bagi memperoleh input dan pengalaman daripada pengurusan Taman Laut Bunaken yang diiktiraf sebagai antara kawasan konservasi marin terkemuka di dunia.

Sepanjang lawatan, delegasi meneliti pelbagai aspek pengurusan termasuk strategi pemuliharaan sumber marin, penglibatan komuniti setempat, pemantauan ekosistem terumbu karang, serta pelaksanaan aktiviti pelancongan yang seimbang dengan usaha pemuliharaan alam sekitar.

Dr. Mohd. RizalĀ  berkata, pihaknya turut mengadakan sesi perbincangan dan pertukaran pandangan bersama pihak pengurusan Taman Laut Bunaken mengenai pendekatan pengurusan kawasan perlindungan marin, mekanisme penguatkuasaan, pendidikan konservasi, serta model kerjasama antara kerajaan, komuniti dan pihak berkepentingan.

“Kajian penanda aras ini dijangka dapat menyumbang kepada penambahbaikan dasar dan amalan pengurusan taman laut di Malaysia, khususnya dalam memperkukuhkan pemuliharaan ekosistem marin, meningkatkan kesejahteraan komuniti pesisir serta menyokong pembangunan ekonomi berasaskan sumber marin yang lestari.

“Selain memperkukuhkan hubungan akademik dan teknikal antara Malaysia dan Indonesia, program ini turut membuka ruang kepada pelaksanaan penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, serta pembangunan kapasiti dalam bidang pengurusan sumber marin dan konservasi biodiversiti,” katanya.

Pelaksanaan kajian penanda aras ini mencerminkan komitmen STML, UUM dan Jabatan Perikanan Malaysia untuk terus memperkasa penyelidikan berimpak tinggi serta menyokong agenda pembangunan mampan melalui amalan pengurusan sumber marin yang berasaskan ilmu, inovasi dan kerjasama serantau.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button