Education

Timbalan Gabenor BNM perkukuh komitmen strategik bersama UUM

Berita dan gambar M. Khairy Mukhtaruddin

KUALA LUMPUR, 12 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan jaringan strategik bersama Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi kunjungan hormat ke Sasana Kijang yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, mewakili Naib Canselor UUM.

Dalam sesi tersebut, delegasi UUM turut menyampaikan surat penyambungan pelantikan Profesor Adjung Ekonomi kepada Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Prof. Dr. Marzunisham Omar.

Seterusnya, delegasi UUM mengadakan sesi pembentangan kerjasama yang disampaikan oleh Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd. Rashid. Antara agenda utama yang dibincangkan ialah cadangan penganjuran Malaysia–Japan Economics Dialogue yang dijangka berlangsung pada November 2026 dengan penglibatan Bank of Tokyo dan Bank Negara Malaysia, selain penganjuran bersama Economics and Finance Symposium 2027 (EFS 2027) yang dicadangkan berlangsung di Bank Negara Malaysia pada April 2027.

Turut dibincangkan ialah pelaksanaan inisiatif Industry on Campus (IOC) bagi memperkukuhkan perkongsian ilmu antara industri dan universiti.

Dalam sesi tersebut, Dr. Marzunisham menyatakan komitmen untuk meluangkan lebih banyak masa bersama warga UUM melalui penyampaian syarahan dan kuliah kepada para pelajar sebagai usaha memperkasakan pengalaman pembelajaran berteraskan industri.

Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperluaskan kolaborasi dalam bidang penyelidikan, khususnya yang melibatkan isu-isu ekonomi dan kewangan semasa.

Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada ahli akademik dan pelajar UUM untuk terlibat dalam penyelidikan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada pembangunan negara.

Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan UUM dan Bank Negara Malaysia dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi akademik dan industri, sekali gus menyokong pembangunan bakat, penyelidikan berkualiti serta agenda kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button