Marriott NextGen 2026 beri pendedahan kepada pelajar tentang peluang kerjaya dalam industri hospitaliti global
Berita dan gambar Norhafizi Nordin
SINTOK, 12 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Marriott International Northern Region telah berjaya menganjurkan program Marriott NextGen 2026: Hospitality Career & Industry Experience yang berlangsung di DK 8/1 dan STHEM Training Kitchen, UUM.

Program ini dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dalam industri hospitaliti global, di samping mengukuhkan hubungan antara institusi akademik dan pemain industri terkemuka.
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) STHEM, Dr. Eshaby Mustafa berkata, sambutan yang diterima daripada pelajar menunjukkan minat yang tinggi terhadap peluang kerjaya dalam industri hospitaliti antarabangsa.
Menurutnya, Penyertaan seramai 115 orang pelajar mencerminkan komitmen STHEM dalam menyediakan platform pembelajaran berasaskan industri yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Program ini turut menyediakan ruang jaringan profesional antara pelajar dan wakil industri melalui sesi networking yang memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pengurus dan profesional hospitaliti bertaraf antarabangsa.

“Penganjuran Marriott NextGen 2026 membuktikan komitmen berterusan STHEM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi keperluan industri hospitaliti global selaras dengan aspirasi Universiti Utara Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama industri,” katanya.
Program tersebut telah menghimpunkan wakil industri daripada beberapa hotel di bawah rangkaian Marriott International, iaitu The Westin Langkawi Resort & Spa, Penang Marriott Hotel, Aloft Langkawi Pantai Tengah, dan The Ritz-Carlton Langkawi.
Antara pengisian utama program termasuk sesi perkongsian industri yang memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai operasi hotel antarabangsa, trend semasa industri hospitaliti, serta laluan kerjaya yang boleh diterokai selepas tamat pengajian.

Selain itu, pelajar turut berpeluang menyertai CV and Interview Clinic yang memberi bimbingan secara langsung berkaitan penyediaan resume, teknik temu duga dan pembangunan kerjaya.
Pada masa yang sama, sesi Culinary Demonstration yang dikendalikan oleh Mr. Hasrul Bin Abdul Hamid, Director of Learning & Development, The Westin Langkawi Resort & Spa, telah memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada peserta.



