UUM perkukuh jaringan antarabangsa menerusi pemeteraian dua MoU di Indonesia
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidiin
JAKARTA, 12 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan apabila memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan institusi pengajian tinggi Indonesia sempena program Mega Ayo Kuliah di Malaysia 2026 di Kempinski Grand Ballroom, Grand Indonesia Mall, Jakarta.
Program anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS) ini menghimpunkan universiti-universiti Malaysia bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi pilihan pelajar Indonesia.

MoU pertama dimeterai antara UUM dan Universitas Muhammadiyah Sukabumi (UMMI), manakala MoU kedua melibatkan Universitas Islam Negeri (UIN) Siber Syekh Nurjati Cirebon. Kedua-dua kerjasama ini dijangka membuka ruang yang lebih luas dalam bidang mobiliti pelajar dan staf, penyelidikan bersama, pembangunan akademik, pertukaran kepakaran serta pelaksanaan pelbagai program kolaboratif yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Majlis pertukaran MoU tersebut menjadi simbol komitmen UUM dalam memperkukuhkan hubungan strategik dengan institusi pendidikan tinggi di Indonesia, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berdaya saing global dan memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pemeteraian kedua-dua MoU ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa, khususnya dengan institusi pengajian tinggi di Indonesia yang mempunyai hubungan erat dari aspek sejarah, budaya dan pendidikan.
Menurutnya, kerjasama tersebut akan membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa dan ahli akademik kedua-dua universiti untuk menyertai program mobiliti, penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, pembangunan kurikulum serta perkongsian kepakaran yang mampu meningkatkan kecemerlangan akademik dan impak kepada masyarakat.

“UUM sentiasa komited untuk memperluaskan kerjasama antarabangsa yang berimpak tinggi. Hubungan strategik dengan institusi pendidikan tinggi di Indonesia bukan sahaja memperkukuhkan hubungan dua hala, malah menyumbang kepada pembangunan modal insan bertaraf global serta memperkasakan ekosistem pendidikan tinggi serantau,” katanya.
Penyertaan UUM dalam Mega Ayo Kuliah di Malaysia 2026 turut memberi peluang kepada bakal pelajar Indonesia mendapatkan maklumat secara langsung mengenai program akademik, kemudahan pembelajaran, biasiswa serta pengalaman kehidupan kampus di UUM.
Program ini merupakan platform penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia dan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di negara ini.
Pemeteraian dua MoU ini sekali lagi membuktikan komitmen UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama antarabangsa yang mampan, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi bertaraf global.



