UUM perkukuh promosi pendidikan tinggi di Indonesia menerusi Mega Ayo Kuliah 2026
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin
JAKARTA, 12 Julai 2026: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed telah menghadiri Mega Ayo Kuliah di Malaysia 2026 yang berlangsung di Jakarta sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan promosi pendidikan tinggi Malaysia serta memperluaskan pengambilan pelajar antarabangsa, khususnya dari Indonesia.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim dan menghimpunkan universiti-universiti Malaysia bersama ribuan bakal pelajar, ibu bapa serta rakan strategik pendidikan.
Sempena program tersebut, Naib Canselor UUM turut mengambil peluang meluangkan masa bertemu dan berinteraksi dengan para pengunjung di reruai UUM bagi berkongsi maklumat mengenai program akademik, kemudahan kampus serta peluang pengajian yang ditawarkan universiti.
Penyertaan UUM dalam pameran pendidikan ini mencerminkan komitmen universiti untuk terus memperkukuhkan hubungan akademik Malaysia–Indonesia serta menyokong aspirasi Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi bertaraf dunia.



