Campus

UUM lancar Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan perkukuh budaya kerja selamat di kampus

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 12 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuhkan komitmennya dalam membudayakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) menerusi pelancaran Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UUM yang disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bersempena Perhimpunan Bulanan Staf UUM dan Majlis Penutupan Sukan Staf 2026 di Stadium UUM  pada 7 Julai lalu.

Pelancaran polisi tersebut merupakan manifestasi komitmen berterusan universiti dalam menyediakan persekitaran kerja dan pembelajaran yang selamat, sihat dan kondusif kepada seluruh warga kampus selaras dengan kehendak Seksyen 16, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], yang mewajibkan setiap majikan menyediakan dan mempamerkan dasar bertulis mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Majlis pelancaran dizahirkan dengan simbolik penandatanganan Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UUM oleh Naib Canselor disaksikan oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), pengurusan kanan serta warga UUM yang hadir. Pelancaran tersebut merupakan antara pengisian utama majlis bersama beberapa inisiatif strategik universiti yang lain.

Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman berkata, Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UUM yang dilancarkan ini menjadi dokumen dasar dan rujukan utama universiti dalam memperkukuh tadbir urus keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Menurutnya, polisi tersebut menggariskan komitmen UUM untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan perundangan, menyediakan persekitaran kerja dan pembelajaran yang selamat, sihat dan kondusif, melaksanakan pengurusan hazard dan risiko secara sistematik, memperkasakan budaya keselamatan melalui penyediaan maklumat, pendidikan, latihan dan penyeliaan berterusan, memperjelas tanggungjawab serta akauntabiliti semua pihak, di samping melaksanakan semakan dan penambahbaikan berterusan terhadap sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Polisi ini turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada komitmen, kerjasama dan penyertaan aktif semua warga universiti, termasuk pekerja, pelajar, kontraktor dan pelawat, dalam membudayakan amalan kerja dan pembelajaran yang selamat.

“Pendekatan ini diyakini mampu memperkukuh budaya pencegahan di kampus serta mewujudkan persekitaran universiti yang lebih selamat, sihat dan lestari,” katanya.

Selaras dengan aspirasi tersebut, UUM akan terus memperkasa pelaksanaan pelbagai inisiatif keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui pemerkasaan sistem pengurusan KKP, latihan dan program kesedaran, pengurusan risiko yang sistematik serta penglibatan aktif seluruh warga universiti.

Usaha berterusan ini diharap dapat memperkukuh budaya KKP sebagai sebahagian daripada nilai dan amalan kerja harian dalam memastikan kesejahteraan seluruh komuniti kampus. – Nurulwajhi Yahaya

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button