Majlis Lambaian Kasih rai persaraan Ustaz Zabadi
Gambar Pusat Islam UUM
SINTOK, 13 Julai 2026: Suasana penuh sebak dan penghargaan mewarnai Majlis Lambaian Kasih sempena persaraan Ahmad Zabadi Mokhtar, staf Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah menabur bakti selama 35 tahun di bawah bumbung Pusat Islam.

Majlis yang diadakan bagi meraikan jasa dan pengorbanan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan itu turut dihadiri oleh barisan pengurusan Pengarah Canselori, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Presiden KESKA UUM, rakan-rakan staf serta warga Pusat Islam UUM.
Sepanjang 35 tahun berkhidmat, beliau telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam memartabatkan fungsi dan peranan Pusat Islam sebagai pusat pembangunan sahsiah dan kerohanian warga universiti.
Dedikasi, komitmen serta keikhlasan beliau dalam menjalankan amanah menjadi inspirasi kepada rakan sekerja dan generasi pelapis.

Dalam ucapan penghargaan, Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas jasa dan pengorbanan beliau, serta mendoakan agar dikurniakan kesihatan yang baik dan kehidupan yang diberkati selepas persaraan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati sebagai tanda kenangan serta sesi bergambar bersama hadirin.
Semoga segala jasa dan bakti yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan dan terus dikenang oleh seluruh warga Pusat Islam UUM. – Dakina Zakaria



