Campus

“A Whole New World”: Muzikal Aladdin buka dimensi baharu seni persembahan di UUM

Gambar Ahmad Adam Nazhan Mohd Nizar

SINTOK, 13 Julai 2026: Dewan Budi Siswa, Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi tumpuan warga kampus dan orang luar apabila pementasan teater muzikal Aladdin berjaya dipersembahkan dengan penuh gilang-gemilang selama dua hari, baru-baru ini.

Persembahan itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar, pensyarah serta persatuan penggiat teater di negeri Kedah yang hadir untuk menyaksikan adaptasi kisah klasik tersebut.

Presiden Teater Warna, Duya Izaidi berkata, pementasan ini menampilkan gabungan lakonan, nyanyian secara langsung, tarian dan elemen visual yang kreatif sehingga berjaya menghidupkan dunia fantasi Agrabah di atas pentas.

Menurutnya, set pentas yang menarik, rekaan kostum berwarna-warni, pencahayaan yang memukau serta kesan bunyi yang berkualiti turut memberikan pengalaman immersif yang menghiburkan kepada penonton.

Pementasan berdurasi 90 minit ini bukan sahaja mengangkat kisah pengembaraan Aladdin, malah persembahan ini turut menyampaikan nilai-nilai murni seperti kejujuran, keberanian, persahabatan, pengorbanan dan kepentingan menjadi diri sendiri.

Persembahan pelakon yang bertenaga serta keserasian antara lakonan dan muzik berjaya mencetuskan emosi penonton sekaligus menerima tepukan gemuruh pada penghujung setiap babak. Pementasan ini menerima rata-rata komen yang sangat positif dan memberangsangkan terutamanya daripada pihak luar yang berhajat untuk menyaksikan lagi pementasan teater dari UUM.

Penganjuran muzikal Aladdin di UUM membuktikan bahawa fenomena adaptasi karya terkenal terus menjadi pilihan dalam dunia seni kerana ia mampu menghubungkan karya lama dengan perspektif baharu.

Pementasan ini juga menjadi platform kepada mahasiswa untuk mengembangkan kreativiti, kemahiran persembahan serta pemahaman terhadap proses penghasilan sebuah karya teater yang berkualiti. Justeru, Kejayaan pementasan muzikal Aladdin turut memberikan impak positif terhadap pembangunan kelab seni yang terlibat dalam penghasilan produksi tersebut.

Kejayaan ini membuktikan keupayaan ahli kelab dalam menguruskan sebuah pementasan berskala besar yang melibatkan aspek lakonan, muzik, teknikal, pengurusan pentas dan promosi.

Secara tidak langsung, kejayaan ini turut mengharumkan nama Universiti Utara Malaysia sebagai institusi yang menyokong perkembangan bakat kreatif dan budaya seni dalam kalangan pelajar. – Aissah Zulaikha

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button