Campus

STML Innoshowcase 2026 cipta gelombang inovasi lestari, angkat kolaborasi penyelidikan rentas institusi

Berita dan gambar Nur Rabiatul Adhawiyah Abdullah

SINTOK, 14 Julai 2026: STML InnoShowcase 2026 yang berlangsung bersempena Green Carnival 2026 berjaya mencetuskan ledakan kreativiti, teknologi dan inovasi lestari dalam kalangan penyelidik, pensyarah serta pelajar daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi dan kolej.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) ini mengangkat tema ‘Sustainable Innovation for People, Planet and Future Generations’, sekali gus memperkukuhkan aspirasi universiti dalam membudayakan inovasi berimpak tinggi demi kelestarian masa hadapan.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada AUN/SEED-Net JICA selaku penaja utama, yang memainkan peranan penting dalam memperkasa jaringan akademik, penyelidikan dan inovasi serantau. Kehadiran peserta dari 23 institusi termasuk UTM, Kolej Pertanian Malaysia, IKBN Jitra, Universiti Teknologi PETRONAS, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, UiTM, UniMAP, SEGi College Penang dan beberapa institusi lain membuktikan bahawa InnoShowcase 2026 bukan sekadar pertandingan inovasi, malah menjadi pentas unggul penyatuan idea, kepakaran dan potensi kolaborasi antara institusi.

Pengarah Program, Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah berkata, tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk menjalinkan kolaborasi strategik antara penyelidik STML, UUM dengan institusi luar, di samping membuka ruang perkongsian ilmu, pemindahan teknologi dan pembinaan rangkaian penyelidikan yang lebih kukuh.

Beliau menegaskan bahawa program sebegini mampu menjadi jambatan penting bagi melahirkan inovasi yang bukan sahaja bersifat akademik, malah mempunyai nilai aplikasi sebenar kepada masyarakat, industri dan alam sekitar.

Proses penilaian InnoShowcase 2026 diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Faizal Omar dan Dr. Mohd Adeeb Abdul Rahi dari UUM, manakala penilaian khas pula disempurnakan oleh juri antarabangsa iaitu Dr. Tan Bui Bui dari Ho Chi Minh City University of Technology (HCMUT) dan Dr. Van Dang Tran dari Hanoi University of Science and Technology (HUST), Vietnam.

Kehadiran juri antarabangsa ini menyerlahkan dimensi global program, sekali gus memperkukuhkan kedudukan InnoShowcase sebagai platform inovasi yang berpotensi berkembang ke peringkat serantau.

Dalam pertandingan ini, sebanyak lapan peserta berjaya meraih pingat emas, lapan peserta meraih pingat perak, manakala enam peserta dianugerahkan pingat gangsa. Pencapaian ini memperlihatkan mutu penyertaan yang memberangsangkan serta kesungguhan peserta dalam mengetengahkan idea inovatif yang relevan dengan cabaran semasa, khususnya dalam bidang kelestarian, teknologi hijau dan penyelesaian masalah masyarakat.

Kemuncak program menyaksikan pasukan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencuri tumpuan apabila projek bertajuk ‘E-CAT Membrane: Electrocatalytic Hollow Fibre Membrane for Sustainable Wastewater Treatment’ berjaya membawa pulang pingat emas, Best of the Best 1st Place dan Special Award.

Kejayaan gemilang ini membuktikan keunggulan projek tersebut yang bukan sahaja menampilkan nilai saintifik dan teknikal yang tinggi, malah menawarkan penyelesaian lestari terhadap isu rawatan air sisa, satu cabaran besar dalam agenda kelestarian global.

STML InnoShowcase 2026 tampil sebagai medan ilmu yang bertenaga, progresif dan berwawasan yang bukan sahaja meraikan pencapaian inovasi, malah menyemarakkan semangat penyelidikan, kolaborasi dan penciptaan teknologi berasaskan kelestarian.

Dengan sokongan padu penaja, juri, peserta dan warga STML, InnoShowcase 2026 berjaya membuktikan bahawa inovasi hari ini adalah nadi perubahan untuk membina masa depan yang lebih hijau, berdaya saing dan bermakna kepada generasi akan datang.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button