Campus

From Campus To Career perkasa kesediaan pelajar menghadapi dunia pekerjaan

Gambar Muhammad Zulkarnain Fahmi Che Sarudin dan Nur Fatihah Azizan

SINTOK, 14 Julai 2026: Persatuan Pengurusan Teknologi (MOTIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan program Alumni Insight: From Campus to Career bersempena STML Green Carnival 2026 di Dewan Seminar C, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM pada Jun lalu.

Pengarah Program, Nurhanis Eliyia Mohd Yusnor berkata, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai realiti dunia pekerjaan serta perkongsian pengalaman alumni STML dalam membina kerjaya selepas menamatkan pengajian.

Selain itu, menurutnya, program ini turut membantu pelajar untuk memahami kemahiran dan persediaan yang diperlukan sebelum melangkah ke alam pekerjaan dengan lebih yakin.

Program dimulakan dengan sesi perkongsian bersama Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Aidanazima Abshah dan Eksekutif Sokongan Jualan (Sales Support Executive) di Fastenal Sdn. Bhd. dan merupakan alumni UUM, Muhammad Khidir Mohd Zain.

Sepanjang sesi perkongsian, Dr. Aidanazima menekankan bahawa kejayaan graduan pada masa hadapan tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh nilai profesionalisme, kemahiran insaniah, kebolehsuaian diri serta kesediaan untuk terus belajar sepanjang hayat.

Berkongsi pengalaman beliau daripada seorang anak FELDA, alumni UUM, pekerja syarikat multinasional sehingga bergelar ahli akademik, beliau mengingatkan mahasiswa agar tidak terlalu bimbang terhadap ketidakpastian masa depan. Sebaliknya, pelajar perlu memanfaatkan peluang yang ada di universiti untuk membina karakter, meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kecerdasan emosi, di samping menguasai teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) sebagai kelebihan kompetitif dalam dunia pekerjaan.

Beliau turut menegaskan bahawa cabaran terbesar bukanlah kehadiran AI, tetapi apabila seseorang berhenti belajar dan enggan menyesuaikan diri dengan perubahan. Selain itu, beliau menyeru pelajar agar mengamalkan nilai kelestarian melalui tindakan harian yang bertanggungjawab, beretika dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Mengakhiri sesi, beliau mengingatkan mahasiswa bahawa kejayaan tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya dibina melalui usaha yang konsisten, disertai doa, tawakal dan keyakinan bahawa Allah SWT adalah sebaik-baik perancang.

Sementara itu, Muhammad Khidir menegaskan bahawa selain memperoleh keputusan akademik yang baik, pelajar juga digalakkan meningkatkan nilai tambah diri melalui penguasaan kemahiran insaniah, mendapatkan sijil kemahiran profesional serta menguasai penggunaan Microsoft Excel kerana kemahiran tersebut merupakan antara kelebihan yang sering diberi perhatian oleh majikan ketika proses pengambilan pekerja.

Beliau turut berpesan agar pelajar tidak pernah berhenti menimba ilmu kerana “ilmu tidak pernah habis”, sekali gus menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan graduan sentiasa relevan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan industri.

Selain itu, kedua-dua panel turut berkongsi panduan membina rangkaian profesional dan menyesuaikan diri dengan budaya kerja. Sesi soal jawab yang diadakan selepas perkongsian mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila para mahasiswa mengambil peluang untuk mengemukakan pelbagai soalan berkaitan persediaan memasuki dunia pekerjaan, pemilihan laluan kerjaya, pengalaman bekerja dalam industri, serta kemahiran yang perlu dipertingkatkan sebelum menamatkan pengajian.

Secara keseluruhannya, Alumni Insight: From Campus to Career telah berlangsung dengan lancar dan menerima sambutan yang memberangsangkan daripada mahasiswa. Diharapkan program ini akan terus menjadi platform yang memberi inspirasi serta membantu pelajar melangkah ke alam kerjaya dengan lebih yakin.

Hadir sama, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Norsiah Hami; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Wadi Khalid Anuar dan Penasihat Kelab Pengurusan Teknologi, Dr. Nurul Rezuana Buyung.  – Nurhanis Eliyia Mohd Yusnor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button