Campus

SBM rai persaraan dua tokoh akademik tanda penghargaan buat Dr. Norashidah dan Dr. Abdul Shukor

Gambar Wan Mohamad Kamil ​Wan Salim ​

SINTOK, 14 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah menganjurkan majlis persaraan di Bilik Kedah, SBM bagi memberikan penghormatan tertinggi serta meraikan persaraan dua tokoh akademik yang amat disayangi dan banyak menabur bakti iaitu Prof. Madya Dr. Norashidah Hashim dan Prof. Madya Dr. Abdul Shukor Shamsudin.

Majlis bermula dengan Sesi Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pengarah Pusat Islam, Yusnaidi Md. Sabri, diikuti penyampaian tazkirah ringkas serta amanat yang mendalam tentang keberkatan dalam menyebarkan ilmu dan fasa kehidupan selepas berkhidmat.

Kemudian, Dr. Norashidah dan Dr. Shukor menyampaikan ucapan penghargaan dan perpisahan masing-masing yang berkongsi coretan memori indah, suka duka sepanjang berkhidmat serta menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga SBM yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan akademik mereka.

Agenda majlis seterusnya diserikan dengan ucapan khas daripada Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad yang menzahirkan rasa kagum serta setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak fakulti ke atas komitmen, pengorbanan masa dan dedikasi tanpa henti yang dipamerkan oleh kedua-dua ilmuwan tersebut sepanjang berdekad-dekad berkhidmat di menara gading UUM.

Sesi penyampaian cenderamata eksklusif sebagai tanda ingatan tulus ikhlas daripada seluruh warga pusat pengajian telah disempurnakan oleh Dr. Shuhymee kepada kedua-dua insan yang diraikan.

Suasana menjadi hening seketika tatkala Dr. Norashidah Hashim dan Dr. Abdul Shukor melangkah ke hadapan untuk melakukan imbasan jari secara rasmi dari jam 11.00 pagi hingga 11.30 pagi di Foyer SBM bagi menandakan tamatnya tugas hakiki mereka sebagai warga kerja akademik universiti.

Sesungguhnya walaupun persaraan memisahkan ikatan tugas rasmi, namun ilmu, budi dan bakti Dr. Norashidah dan Dr. Abdul Shukor akan terus terpahat megah dalam lipatan sejarah kegemilangan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. – Dr. Luqman Mahmud

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button