SBM rai pelajar SULAM–SUDI’26, hargai sumbangan dalam pembangunan komuniti
Gambar Muhamad Arief Fitri Shafie
SINTOK, 14 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Meraikan Pelajar SULAM–SUDI ’26 di Foyer SBM bagi menghargai komitmen pelajar SBM yang berjaya melaksanakan projek Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bersama komuniti.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada kumpulan pelajar sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan kejayaan mereka melaksanakan projek berteraskan penyelesaian isu komuniti.
Dalam ucapannya, beliau berkata pelaksanaan SULAM memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik kuliah untuk membangunkan penyelesaian yang inovatif, kreatif dan relevan dengan keperluan masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SBM, Dr. Norzalila Jamaludin yang menyelaras pelaksanaan program berkata, kejayaan SULAM–SUDI ’26 yang turut melibatkan pelajar SBM adalah hasil kerjasama erat antara pensyarah, pelajar dan rakan komuniti.
Beliau berkata, komitmen semua pihak telah membolehkan setiap projek dilaksanakan dengan terancang, sekali gus memberi pengalaman pembelajaran yang autentik kepada pelajar serta manfaat kepada komuniti.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pelajar dan sesi bergambar sebagai simbol penghargaan terhadap usaha mereka dalam menjayakan agenda pembelajaran berasaskan pengalaman yang menyokong pembangunan komuniti secara berterusan. – Azam Arni Mohd Noor



