Education

Kunjungan Hormat SOC dan CEDI ke Cybersecurity Malaysia perkukuh pembangunan usahawan teknologi

Berita dan gambar Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan

CYBERJAYA, 15 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat serta lawatan kerja strategik ke CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi memperkukuhkan kerjasama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai.

Delegasi UUM diketuai oleh Dekan SOC, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali bersama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Fazli Azzali serta Pengerusi Program MSc Cybersecurity, Dr. Mohd Nizam Omar, manakala CEDI diwakili oleh Timbalan Pengarah Latihan dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar, Dr. Saiful Azizi Ismail dan Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan Industri, Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan.

Delegasi UUM telah disambut oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Roshdi Ahmad. Turut hadir dalam sesi perbincangan ialah Pengurus Besar Bahagian Perancangan Korporat dan Strategi, Hamidun Katemin, Ketua Pejabat Pengurusan Projek, Izwadee Hamzah serta barisan pegawai kanan CyberSecurity Malaysia.

Dr. Osman berkata, perbincangan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program Cybersecurity Clinic atau inkubator CyberCare Innovation Hub, sebuah inisiatif berimpak tinggi yang bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan teknologi (technopreneur) dalam kalangan pelajar universiti di samping mempercepat agenda pengkomersialan produk dan inovasi berasaskan teknologi tempatan.

Selain sesi perbincangan strategik, delegasi UUM turut dibawa melawat Data Recovery Centre CyberSecurity Malaysia bagi meninjau operasi pemulihan data, teknologi forensik digital serta amalan terbaik dalam pengurusan keselamatan siber. Lawatan ini turut membuka ruang kepada perkongsian kepakaran teknikal dan pemindahan ilmu yang bakal dimanfaatkan dalam pembangunan ekosistem keselamatan siber di UUM.

Satu hasil penting daripada lawatan ini ialah persetujuan kedua-dua pihak untuk merealisasikan penubuhan pusat pemulihan data pertama di wilayah utara Semenanjung Malaysia yang akan beroperasi di UUM di bawah penyelarasan bersama CEDI dan SOC.

Pusat ini akan dibangunkan mengikut lesen, piawaian dan garis panduan rasmi CyberSecurity Malaysia, sekali gus memperkukuh keupayaan penyelidikan, latihan profesional, pembangunan bakat serta penyediaan perkhidmatan keselamatan siber kepada industri dan komuniti.

Melalui kolaborasi strategik ini, CyberSecurity Malaysia, SOC dan CEDI turut bersetuju untuk memulakan pelaksanaan CyberCare Innovation Hub dalam masa terdekat. Gabungan kepakaran teknikal SOC dalam bidang keselamatan siber dan pengalaman CEDI dalam pembangunan keusahawanan diyakini mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi dalam teknologi, malah mempunyai daya saing sebagai usahawan digital yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital serta ekosistem keselamatan siber negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button