UUM-UniSHAMS teroka kerjasama strategik, buka laluan profesional peguam Syarie kepada graduan undang-undang
Gambar Abu Bakar Omar Hamdan
SINTOK, 15 Julai 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) bagi membincangkan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam bidang akademik, pembangunan profesional dan pengajian perundangan.

Delegasi UniSHAMS diketuai oleh Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof. Dr. Yahya Don bersama Dekan dan Pensyarah Kanan Kulliyyah Syariah dan Undang-Undang, Dr. Rohani Desa serta Pengarah Pusat Pengambilan Pelajar, Megat Nazahar Megat Shuib disambut oleh Dekan SoL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab bersama barisan pengurusan pusat pengajian.
Perbincangan ini memberi tumpuan kepada peluang kerjasama yang boleh diterokai oleh kedua-dua institusi, khususnya dalam aspek pembangunan program akademik, penyelidikan, penerbitan, pembangunan profesional, latihan industri serta penglibatan alumni.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah peluang kepada pelajar tahun akhir dan alumni undang-undang UUM untuk mengikuti Program Diploma Syariah yang ditawarkan oleh UniSHAMS. Program tersebut dilihat sebagai satu inisiatif yang mampu melengkapkan graduan undang-undang dengan pengetahuan dan kemahiran tambahan dalam bidang perundangan Syariah, sekali gus meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran pekerjaan.

Melalui program berkenaan, pelajar dan alumni berpeluang memperoleh kelayakan tambahan yang dapat membantu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri untuk beramal sebagai peguam syarie namun tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di negeri masing-masing.
Inisiatif ini dijangka dapat membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada graduan undang-undang UUM yang berminat untuk mengembangkan kepakaran dalam kedua-dua bidang perundangan sivil dan Syariah.
Dr. Harlida berkata, kerjasama yang dicadangkan ini selari dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang mempunyai nilai tambah dan kompetensi pelbagai disiplin bagi memenuhi keperluan industri serta masyarakat.
“Pusat Pengajian Undang-Undang UUM sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik yang dapat memberi manfaat kepada pelajar dan alumni.

“Program Diploma Syariah yang ditawarkan oleh UniSHAMS merupakan satu peluang yang amat baik untuk memperkukuhkan pengetahuan graduan dalam bidang Syariah dan seterusnya membuka laluan profesional yang lebih luas, termasuk sebagai peguam syarie,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa penguasaan ilmu dalam kedua-dua sistem perundangan, iaitu sivil dan Syariah, merupakan satu kelebihan yang semakin penting dalam landskap perundangan negara yang semakin kompleks dan dinamik.
Sementara itu, Dr. Yahya menyatakan kesediaan UniSHAMS untuk bekerjasama dengan UUM dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi yang berteraskan integrasi ilmu serta pembangunan profesional yang memenuhi keperluan semasa industri dan masyarakat.

Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama pada masa hadapan yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan akademik, penyelidikan dan kebolehpasaran graduan.
Lawatan ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada hubungan strategik yang lebih erat antara UUM dan UniSHAMS dalam usaha memperkasa pendidikan undang-undang dan Syariah di Malaysia. – Prof. Madya Dr. Asmar Abdul Rahim



