Green Stride USR: BriskWalk and Plogging didik warga kerja SLCP bebas gaya hidup sedentari
Gambar Mohd Farid Md. Yusof
CHANGLUN, 15 Julai 2026: Dalam usaha menyemarakkan gaya hidup sihat dan melestarikan alam sekitar, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah berjaya menganjurkan program Green Stride USR: Brisk Walk and Plogging Day bertempat di kawasan ekopelancongan popular, Air Terjun Bukit Perangin, kelmarin.

Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) ini melibatkan penyertaan seramai 20 warga kerja SLCP terdiri daripada gabungan mantap staf akademik dan staf pentadbiran. Menariknya, program ini turut mendapat sokongan padu daripada syarikat tempatan, Cempaka Armada Sdn. Bhd., yang bertindak sebagai rakan strategik dan penaja rasmi bagi kelengkapan program.
Pengarah Program, Dr. Mohamad Faizal Abd Matalib berkata, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat dengan menangani isu peningkatan gaya hidup sedentari dalam kalangan staf.
Menurutnya, pemilihan konsep plogging memberikan dimensi baharu kepada aktiviti kecergasan biasa.
“Aktiviti plogging yang melibatkan berjalan kaki sambil mengutip sampah ini sebenarnya dapat meningkatkan tahap aktiviti fizikal peserta secara santai dan menyeronokkan. Ia bukan sahaja membakar kalori, malah memberi kepuasan emosi kerana kita dapat menyumbang kepada kebersihan alam sekitar.

“Gabungan elemen fizikal dan impak sosial ini sekali gus menyumbang besar kepada kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja SLCP,” katanya.
Sepanjang aktiviti berlangsung, peserta yang dilengkapi dengan sarung tangan, plastik sampah, dan penyepit sumbangan Cempaka Armada Sdn. Bhd. telah berjaya membersihkan laluan utama dan kawasan rekreasi air terjun.
Jalinan kerjasama erat antara SLCP dan pihak penaja membuktikan bahawa sektor korporat dan akademik mampu bergerak seiringan demi kelestarian komuniti setempat.
Secara keseluruhannya, program Green Stride USR: Brisk Walk & Plogging Day ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih prihatin terhadap kesihatan diri dan kelestarian alam sekitar.
Langkah ini juga dilihat sejajar dengan aspirasi universiti untuk melaksanakan tanggungjawab sosial yang berimpak tinggi serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs), khususnya SDG 3: Good Health and Well-being. – Che Hasniah Ya’acob



