Education

Kolokium Inovasi Penyelidikan perkukuh kerjasama strategik CEDI dan ANGKASA dalam perkasa pembangunan koperasi

Gambar Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI)

KUALA LUMPUR, 16 Julai 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah berjaya menganjurkan Kolokium Inovasi Penyelidikan Untuk Kecemerlangan Koperasi yang berlangsung di Dewan Dato’ Ali Baharum A, ANGKASA.

Penganjuran kolokium ini merupakan antara inisiatif strategik hasil Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara CEDI dan ANGKASA pada 29 Disember 2024 dalam usaha memperkukuhkan kerjasama jangka panjang melalui penyelidikan, pembangunan modal insan, perkongsian ilmu dan pemerkasaan ekosistem keusahawanan serta koperasi negara.

Kolokium sehari ini menghimpunkan penyelidik daripada enam universiti penerima Geran Penyelidikan ANGKASA, universiti-universiti rakan strategik ANGKASA, ahli akademik, pengurusan koperasi serta pemain industri sebagai platform pembentangan hasil penyelidikan, perkongsian ilmu dan perbincangan ilmiah bagi memperkukuh pembangunan gerakan koperasi negara melalui pendekatan berasaskan bukti dan inovasi.

Melalui inisiatif Geran Penyelidikan ANGKASA yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM140,000, ANGKASA terus komited memperkasakan budaya penyelidikan dalam kalangan institusi pengajian tinggi bagi menghasilkan dapatan penyelidikan yang berkualiti, berimpak tinggi dan mampu menjadi asas kepada pembangunan dasar serta transformasi gerakan koperasi negara.

Sepanjang kolokium berlangsung, enam kertas penyelidikan yang dibiayai melalui Geran Penyelidikan ANGKASA telah dibentangkan oleh penyelidik daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pembentangan tersebut merangkumi pelbagai bidang penyelidikan termasuk model perluasan perkhidmatan kewangan koperasi, keterjaminan makanan melalui tanaman sorghum, pemerkasaan belia dalam koperasi sekolah, kelestarian model perniagaan koperasi, keberkesanan Program Jualan Rahmah MADANI serta Program Sejati MADANI sebagai pemangkin pembangunan negara.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Dalam ucapan perasmian penutupnya, beliau menegaskan bahawa penyelidikan merupakan pelaburan strategik yang menjadi asas kepada pembangunan gerakan koperasi negara.

Menurutnya, hasil penyelidikan yang berkualiti mampu membantu ANGKASA membentuk dasar dan strategi pembangunan koperasi yang lebih mantap, memperkukuhkan tadbir urus serta mempercepat transformasi digital melalui penerapan teknologi seperti Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan blockchain.

Beliau turut menyatakan bahawa segala dapatan penyelidikan yang dihasilkan diharap dapat memperkukuhkan kedudukan ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi yang menjadi rujukan utama kepada pembuat dasar, pentadbir koperasi, ahli akademik dan penyelidik.

Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah sesi ucaptama bertajuk “Kecemerlangan Inovasi Penyelidikan Untuk Kecemerlangan Koperasi” yang telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, mewakili Naib Canselor UUM.

Dalam ucaptamanya, Dr. Ram Al Jaffri menegaskan bahawa penyelidikan pada masa kini bukan lagi sekadar agenda akademik universiti, sebaliknya telah berkembang menjadi platform strategik yang menghubungkan universiti, industri, agensi kerajaan dan masyarakat dalam menghasilkan penyelesaian yang benar-benar memberi manfaat kepada negara.

Beliau turut menekankan bahawa universiti perlu memastikan setiap hasil penyelidikan dan inovasi tidak hanya berakhir sebagai penerbitan ilmiah, malah diterjemahkan kepada produk, teknologi serta penyelesaian yang boleh dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat melalui proses pengkomersialan yang berkesan.

Menurutnya, kejayaan sesuatu inovasi tidak seharusnya diukur berdasarkan Return on Investment (RoI) semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira Return on Value (RoV) yang merangkumi pembangunan kepakaran, pengukuhan jaringan strategik, pemindahan teknologi serta manfaat yang dibawa kepada masyarakat dan ekonomi negara.

“Saya sifatkan sinergi antara UUM dan ANGKASA sebagai contoh terbaik kolaborasi universiti-industri yang mampu memperkasakan budaya penyelidikan translasi (translational research) dan menyokong aspirasi Malaysia MADANI serta Dasar Koperasi Malaysia 2030,” katanya.

Kolokium turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada pembentang yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam penyelidikan. Anugerah Pembentang Terbaik telah dimenangi oleh Dr. Noor Raihana Zainol dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), manakala Anugerah Kumpulan Pembentang Terbaik telah dirangkul oleh pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, Anugerah Inovasi Terbaik telah dimenangi oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi penyelidikan bertajuk Program Sejati MADANI Sebagai Pemangkin Pembangunan Negara: Kajian Kes Koperasi dan Bukan Koperasi di Malaysia yang diterima oleh Prof. Madya Dr. Shamsul Huda Abd. Rani selaku wakil pasukan penyelidik UUM.

Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ANGKASA atas kepercayaan dan komitmen yang diberikan kepada CEDI sebagai rakan strategik dalam menjayakan penganjuran kolokium ini.

Beliau berkata, kolaborasi erat antara CEDI dan ANGKASA membuktikan bahawa kerjasama strategik antara universiti dan badan apeks koperasi negara mampu mewujudkan ekosistem penyelidikan yang lebih berimpak, inklusif dan relevan dengan keperluan industri serta pembangunan negara.

“CEDI akan terus komited memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama ANGKASA dan rakan industri dalam memperkasakan budaya penyelidikan, inovasi dan pembangunan keusahawanan koperasi. Dapatan penyelidikan yang dihasilkan melalui kolaborasi seperti ini diharap dapat diterjemahkan kepada dasar, inovasi serta penyelesaian yang memberi manfaat kepada gerakan koperasi, komuniti dan pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.

Kolokium ini berjaya menghimpunkan penyertaan daripada 11 universiti rakan strategik ANGKASA, enam universiti penerima Geran Penyelidikan ANGKASA, Anggota Lembaga ANGKASA, Jawatankuasa Penilaian Luar, pengurusan kanan ANGKASA, ahli akademik, penyelidik serta wakil institusi pengajian tinggi dari seluruh negara.

Penganjurannya bukan sahaja menjadi platform perkongsian hasil penyelidikan, malah memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara universiti, industri dan gerakan koperasi dalam melahirkan penyelidikan yang berimpak tinggi, inovatif dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. – Akmal Ahlami Md Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button